TUMPAT: Seorang nenek dari Kampung Palas Merah di sini menjadi penyambung kasih sayang ibu dan bapa dengan menjaga dua cucu lelakinya yang masing-masing berusia lima tahun serta 10 tahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zawiah Sulaiman, 69, berkata, tanggungjawab itu digalas selepas anaknya, Wan Mansur Wan Yusof yang juga bapa kepada dua cucunya itu meninggal dunia pada Ogos 2022.
“Sejak itu, sayalah yang menjadi ibu dan bapa buat Wan Muhammad Adha, 5, serta Wan Muhammad Fitri,10.
“Lagipun, menantu saya sudah berkahwin lain. Selagi diberi kudrat oleh Allah SWT, saya akan menjaga mereka sehingga akhir hayat,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.
Zawiah berkata, ketika ini dia bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk meneruskan kehidupan dalam membesarkan dua cucunya itu.
Katanya, walaupun dua cucunya membesar tanpa kasih sayang ibu dan ayah, dia nekad memberikan pendidikan terbaik.
“Walaupun tinggal berjauhan, kedua-dua cucu saya masih berhubung dengan ibu mereka. Saya tidak mahu ikatan antara ibu dan anak terputus,” ujarnya. – UTUSAN











