PETALING JAYA: Pakar ekonomi berpendapat penutupan beberapa cawangan rangkaian makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) boleh dikaitkan dengan faktor komersial selain daripada isu boikot.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, adalah satu kebiasaan bagi satu-satu perniagaan untuk menutup cawangan dan membuka cawangan di lokasi yang lain pula bagi mencapai hasil jualan yang lebih.
“Di samping itu, faktor teknologi yang mana para pelanggan boleh memesan atas talian dan pesanan tersebut dihantar melalui perkhidmatan e-hailing.
“Justeru, tindakan KFC ini perlu kita perincikan sebelum mengaitkan dengan faktor boikot,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains İslam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berpendapat, penutupan sementara syarikat francais KFC merupakan strategi bagi mengurangkan kos operasi yang hanya bersifat tempoh jangka pendek dan bukan bersifat jangka panjang.
“Ternyata kempen boikot ini bukan sesuatu yang boleh dipandang mudah oleh syarikat-syarikat lain termasuk syarikat KFC itu sendiri kerana kuasa membeli dalam kalangan pengguna itu sangat kuat.
“Ini juga akan memberi kesan dalam sesuatu pasaran khususnya pasaran yang bersifat pasaran persaingan sempurna kerana pembeli atau pengguna akan cuba beralih kepada produk pengganti lain dalam pasaran serta tidak termasuk dalam senarai yang ingin mereka boikot,” katanya.
Mohd. Faisol berkata, margin keuntungan syarikat yang semakin mengecil, kenaikan kos operasi yang meningkat dengan ketidakupayaan syarikat menampung kos tetap dan kos berubah antara faktor mereka melaksanakan penutupan di beberapa cawangan.
“Walaupun penutupan ini bersifat sementara, namun sekiranya kempen boikot ini masih lagi berlangsung sepertimana boikot terhadap dua jenama lain, maka, kemungkinan penutupan bersifat sementara ini akan bertukar menjadi penutupan kekal jika kos operasi syarikat menjadi mahal berbanding jumlah hasil pendapatan yang diperolehi,” katanya.
Dalam satu kenyataan, QSR Brands, pengendali rangkaian restoran makanan segera KFC mengambil langkah proaktif dengan menutup sementara sebilangan cawangan untuk menguruskan kos perniagaan yang semakin meningkat.
QSR Brands berkata, pekerja daripada cawangan terjejas ditawarkan peluang untuk berpindah ke cawangan yang lebih sibuk.
“Ia juga sebahagian daripada strategi taktikal untuk mengoptimumkan sumber,” katanya.-UTUSAN










