HULU SELANGOR: Pengundi di Kuala Kubu Baharu diingatkan untuk tidak mengundi secara beremosi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu yang akan berlangsung pada 11 Mei ini.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pengundi perlu mengundi mengikut kesejahteraan dan tidak termakan dengan propaganda daripada pihak pembangkang.
Menurutnya, memilih seorang wakil rakyat daripada blok kerajaan lebih mudah berbanding memilih wakil daripada blok pembangkang.
“Pada saya, biasalah semasa PRK. Inilah masanya (untuk) mengecil-kecilkan musuh politik. Mungkin itu cara mereka (Perikatan Nasional).
“Tetapi bagi saya, pengundi di Kuala Kubu Baharu kena pilih wakil rakyat yang akan ada untuk membantu mereka dari segi melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
“Saya minta mereka jangan beremosilah, undi kerana kesejahteraan mereka,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Projek Naik Taraf Ubahsuai dan Pemuliharaan Bangunan Mahkamah Kuala Kubu Baharu, di sini.
Terdahulu, semasa hari penaman calon, terdapat penyokong PN yang membawa sepanduk logo UMNO ‘keris’ diganti dengan ‘roket’ DAP.
Ekoran itu, UMNO membuat laporan polis dan menggesa pihak berwajib mengambil tindakan kerana merasakan sepanduk berkenaan mengundang kemarahan ahli-ahli parti tersebut.
Mengulas lanjut, Azalina Othman berkata, penyandang DUN Kuala Kubu Baharu, mendiang Lee Kee Hiong sudah melaksanakan tugasnya dengan baik sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.
“Saya dimaklumkan (Kee Hiong) bukan Islam, bukan Melayu tetapi dia melaksanakan tanggungjawabnya secara berhemah.
“Itu pada saya, (pengundi perlu) meletakkan keutamaan pada diri mereka dulu,” katanya. – UTUSAN










