Projek ECRL: Pindah tanah perkuburan ditangguh - Utusan Malaysia

Projek ECRL: Pindah tanah perkuburan ditangguh

Kubur ECRL
TANAH Perkuburan Selat Klang akan dialihkan bagi memberi laluan kepada pembinaan projek ECRL di Klang, Selangor. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Proses pemindahan Tanah Perkuburan Selat Klang bagi memberi laluan pembinaan projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) ditangguhkan seminggu lagi bagi memberi ruang pendengaran kepada 45 waris lagi yang terlibat.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, proses tersebut sepatutnya bermula esok, namun ditangguhkan supaya kerajaan negeri boleh menguruskan sebarang bantahan daripada wakil-wakil waris terlibat.

“Tadi kita bincang di sana, setakat ini kita sudah lanjutkan seminggu untuk memberi ruang kepada 45 keluarga yang belum datang. Kita sudah buat pendengaran, ada 45 sudah datang 45 lagi belum.

“Jadi kita tangguhkan seminggu untuk beri ruang kepada pendengaran tersebut supaya kita boleh menguruskan bantahan dan sebagainya, perubahan tempat-tempat tersebut,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, 90 waris dilapor menyatakan kekecewaan terhadap tindakan kerajaan memindahkan jenazah ahli keluarga mereka yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Selat Klang.

Ini kerana sebahagian mereka mendakwa, jenazah ahli keluarga mereka baharu meninggal dunia dalam tempoh dua tahun lalu dan percaya jasadnya masih belum reput sepenuhnya.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan laluan ECRL memerlukan landasan yang lurus dan sebarang peralihan akan menyebabkan perubahan besar terhadapnya.

“Sebagaimana sedia maklum, ECRL perlukan satu landasan yang lurus dan tak boleh berbengkang-bengkok sesuka hati, bila kita perlukan landasan yang lurus, alihan kecil sahaja akan menyebabkan perubahan yang besar.

“Jadi, sebab itu kita seboleh mungkin mengekalkan, tetapi hukum dan sebagainya tiada masalah, saya rasa sudah ada (penjelasan) mufti dan aturannya bagaimana memindah. Cuma isunya adalah kena memberi penerangan kepada wakil-wakil warism,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×