HULU SELANGOR: DAP kekal menghormati keputusan MCA untuk tidak terlibat dalam sebarang kempen bagi membantu calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang sedang berlangsung.
Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching berkata, setakat ini beliau masih tidak melihat mana-mana jentera MCA yang turut membantu Kerajaan Perpaduan berkempen untuk Sock Tao.
Bagaimanapun, menurut beliau, DAP kekal menghormati keputusan MCA itu dan enggan memaksa parti tersebut turun sama membantu dalam PRK berkenaan.
“Saya tidak nampak MCA dan saya akan menghormati keputusan mereka. Macam Anthony Loke Siew Fook (Setiausaha Agung DAP) beritahu, sesiapa yang berhasrat datang ke Kuala Kubu Bahar untuk membantu calon, kami amat berterima kasih.
“Tetapi kalau ada yang rasa tidak selesa, tidak mahu turun dan sebagainya itu kami menghormati keputusan mereka. Tidak boleh paksa, yang paling penting macam mana kami nak meyakinkan pengundi-pengundi di sini serta yang tidak duduk di Kuala Kubu Baharu untuk balik menyokong calon kami. Itu paling penting,” katanya ketika ditemui pemberita ketika berkempen di Pasar Awam Kuala Kubu Baharu, di sini.
Terdahulu, media melaporkan, MCA menegaskan keputusan mereka untuk tidak akan berkempen di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sekiranya calon dipertandingkan bukan daripada Barisan Nasional (BN).
Perkara ini dipercayai selepas MCA mendakwa tindakan beberapa pemimpin DAP termasuk Anthony Loke yang juga merupakan Menteri Pengangkutan dikatakan secara terbuka dan tidak berselindung menghina serta menggores hati akar umbi mereka dengan pelbagai tuduhan.
Bagaimanapun, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata, beliau masih optimis MCA akan menyertai kempen dalam PRK Kuala Kubu Baharu.
Dalam perkembangan lain, Nie Ching yang merupakan Timbalan Menteri Komunikasi berkata, PH enggan menganggap sokongan pengundi Kuala Kubu Baharu sudah berpihak kepada mereka dalam PRK yang berlangsung pada 11 Mei ini.
“Ini baru hari keempat, kita faham untuk sesuatu PRK mestilah kadar mengundi adalah rendah jadi saya rasa itu merupakan cabaran kami. Saya tidak rasa bahawa pada hari keempat kita sekarang berada dalam satu kedudukan yang selesa dan sebagainya, kami akan kempen sampailah saat terakhir.
“Kita tidak akan rasa bahawa oleh sebab ini merupakan kerusi kita telah menang oleh mendiang Lee Kee Hiong sebanyak tiga kali, sebaliknya kita akan selalu anggap kita merupakan ‘underdog’ dan berikan sepenuhnya dalam kempen ini kerana saya rasa ia bukan sahaja penting untuk DAP dan PH tetapi juga untuk kerajaan Selangor,” jelasnya. – UTUSAN










