PGA banteras penyeludupan ganja bernilai RM93,000

PGA banteras penyeludupan ganja bernilai RM93,000

BADERULHISHAM Baharudin (dua dari kiri) menunjukkan ketulan mampat dipercayai ganja yang dirampas sewaktu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Unit Udara Pasukan Gerakan Am (PGA) mematahkan cubaan menyeludup  ganja bernilai RM93,000 menerusi pemantauan di laluan keselamatan sempadan sebelah Thailand, Sabtu lalu. 

Menerusi pemantauan tersebut, sepasukan anggota telah digerakkan ke Sektor Charlie 15 bagi melakukan pemeriksaan di kawasan sempadan berkenaan sekitar pukul 4.45 pagi.

Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan tiga guni putih mengandungi 30 ketulan mampat bersalut kertas aluminium foil berwarna emas disyaki ganja.

“Semua ketulan mampat berkenaan dianggarkan seberat 30 kilogram bernilai RM93,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, hari ini.

Mengulas lanjut, Baderulhisham berkata, suspek dipercayai memotong pagar keselamatan bagi mengedarkan guni tersebut yang ditinggalkan suspek, untuk diambil pihak lain. 

“Suspek berkenaan dikesan menerusi operasi pemantauan oleh dron Unit Udara PGA bagi mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan sempadan.

“Semua ganja yang dirampas ini boleh digunakan seramai 150,000 penagih jika berjaya diedarkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Baderulhisham berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Perlis menahan seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun dipercayai terlibat dalam penyeludupan ketum di Kampung Wang Kelian di sini, Sabtu lalu.

Katanya, sewaktu ditahan, suspek sedang leka memasukkan guni ketum berkenaan ke dalam kenderaan pacuan empat roda bernombor pendaftaran negara jiran.

“Hasil pemeriksaan menemui  30 guni mengandungi daun ketum seberat 1.02 tan metrik bernilai RM10,200. Modus operasi suspek, melakukan pembungkusan semula di kawasan kampung berkenaan yang dijadikan transit sebelum diedar ke negara jiran,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan suspek direman tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan. 

“Pemeriksaan air kencing mendapati dia positif Methamphetamine dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×