KLANG: Seramai 90 waris meluahkan kekecewaan apabila jenazah ahli keluarga mereka yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Selat Klang, di sini akan dipindahkan bagi memberi laluan projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL).
Ini kerana sebahagian mereka mendakwa, jenazah ahli keluarga mereka baharu meninggal dunia dalam tempoh dua tahun lalu dan percaya jasadnya masih belum reput sepenuhnya.
Salah seorang waris, Hazlina Hasbullah 48, berkata, dia difahamkan tindakan tersebut bertentangan dengan fatwa dikeluarkan Jabatan Mufti Selangor sebelum ini yang menjelaskan mayat dalam kubur yang hendak dipindahkan itu sudah hancur.
Menurutnya, oleh demikian seramai 16 waris tampil membuat laporan polis terhadap tindakan pemindahan tersebut.
“Sekiranya, mayat mayat yang terlibat belum hancur jasadnya, maka hukumnya haram menggali dan memindahkan ke tempat lainnya.
“Saya berbintikan nama ayah yang tercacah pada batu nisan atas kuburnya. Saya adalah waris yang sah. Mereka juga tidak benarkan kami hadir untuk proses pemindahan dan hanya berikan batu nisan sahaja kepada kami nanti,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Terdahulu, sebahagian waris berkumpul menziarahi kubur ahli keluarga masing-masing dekat kawasan tanah perkuburan tersebut yang sudah pun ditutupi dengan zink bagi menjalankan kerja-kerja pemindahan jenazah.
Sementara itu, seorang waris, Ida O’ hara Ismail Azman, 49, memberitahu ramai ahli keluarga kecewa apabila proses dilakukan secara tergesa-gesa dalam tempoh dalam tempoh dua minggu tanpa perbincangan dan persetujuan mereka.
Jelasnya, mereka diberikan notis pada 15 April lalu sebelum diminta hadir bagi perjumpaan tertutup bagi pemakluman di Dewan Hamzah Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) enam hari kemudian menerusi jemputan di aplikasi WhatApp.
“Kami datang sana bukan (Dewan Hamzah MBDK), bukan terima keputusan sebaliknya hendak dengar. Kalau sudah tahu tanah ini dirizabkan untuk ECRL, kenapa jenazah dikebumikan di sini. Mereka tidak jawab dan hanya memaklumkan itu adalah jajarannya.
“Mereka (pihak berkuasa dan pemaju) tiada usaha hendak berbaik dengan waris. Tiada bincang dan buat keputusan. Bila waris banyak bersuara, mereka tamatkan majlis perjumpaan itu,” tegasnya.
Tembahnya, perjumpaan itu hanya dihadiri 30 waris dengan selebihnya tidak mengetahui mengenainya.
Dalam pada itu, Norfazilah Hassan, 42, berharap campur tangan daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan akan membela nasib kami.
“Saya tidak boleh terima dan tidak akan membenarkan perkara ini berlaku. Sudah tentu saya amat kecewa dengan alasan hanya untuk buat jalan sahaja,” katanya.
Sementara itu, cubaan Utusan Malaysia menghubungi Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Ophir bagi mendapatkan penjelasan berhubung pemindahan tersebut belum menerima sebarang maklum balas. – UTUSAN










