HULU SELANGOR: Pemimpin Kerajaan Perpaduan akan terus turun membantu calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao berkempen sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Sock Tao yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kehadiran pemimpin-pemimpin berkenaan menandakan Kuala Kubu Baharu adalah kawasan yang penting untuk kerajaan.
“Ia penting untuk Kerajaan Perpaduan kekalkan Kuala Kubu Baharu sebagai satu tempat bagi membolehkan kerajaan di peringkat negeri menunjukkan bagaimana kawasan ini boleh dibangunkan.
“Akan ada (lebih) ramai lagi pemimpin-pemimpin yang (akan) tampil ke hadapan untuk menerangkan polisi dan hasrat kerajaan dalam membangunkan Malaysia serta Selangor,” katanya semasa ditemui lawatan di Pasar Karat Batang Kali semalam.
Perjalanan kempen Sock Tao untuk hari kedua ditemani Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.
Malah, sewaktu hari penamaan sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut hadir mengiringi beliau ke Pusat Penamaan Calon sebagai tanda sokongan kepadanya dalam PRK Kuala Kubu Baharu yang berlangsung pada 11 Mei ini.
Antara pemimpin lain yang hadir adalah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
POLITIK BAHARU
Mengulas lanjut, Sock Tao berkata, beliau ingin membawa politik baharu dalam arena politik negara.
“Sebagai seorang anak muda dan wanita, saya ingin membawa politik baharu kepada Malaysia yang fokus kepada dasar dan pembangunan rakyat serta setempat khususnya kepada penduduk di sini,” jelasnya.
Katanya, beliau yakin dengan penerimaan pengundi-pengundi Kuala Kubu Baharu terhadap dirinya setakat ini.
“Kita akan cuba berjumpa lebih ramai pengundi sebab saya rasa mereka banyak memberi galakkan kepada saya, ada yang memberikan sokongan dan dukungan. Ini amat penting untuk saya bekerja lebih keras sepanjang kempen ini,” katanya.
Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) ingin mendekati seluruh pengundi tanpa mengira kaum supaya dapat menarik lebih banyak undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Calonnya, Khairul Azhari Saut berkata, beliau bersama PN sudah merancang beberapa strategi yang diyakini dapat membantunya mendekati pengundi pelbagai lapisan umur dan kaum semasa berkempen.
Menurutnya, PN akan berpecah kepada beberapa kumpulan bagi setiap kaum untuk memudahkan komunikasi bersama pengundi dan jelaskan mengenai manifesto yang dibawa oleh calon.
KEMPEN
Malah, katanya, beliau turut mengharap perjalanan kempen dapat diadakan secara sihat bersama calon-calon lain dan tidak berlakunya pergaduhan dan rovokasi antara satu sama lain.
“Kami berpecah dalam beberapa kumpulan iaitu kumpulan orang Melayu, Cina, India dan lain-lain. Kami buat sedemikian bukan sebab sifat perkauman tetapi untuk mengelakkan halangan bahasa antara kaum lain.
“Ini untuk memudahkan proses berkempen berlangsung supaya dapat tarik sokongan pengundi kaum lain untuk mengundi kami,” katanya ketika berkempen di Pasar Pagi Batang Kali.
Khairul Azhari akan bersaing dengan tiga calon lain iaitu Pang Sock Tao mewakili Pakatan Harapan (PH), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin calon Bebas.
Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun berkata, beliau yakin dengan calon Khairul Azhari kerana merasakan beliau mampu untuk memikul tanggungjawab dan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sini dengan baik.
“Sekiranya PN dapat memenangi bagi PRK KKB ini, dengan izin Allah kami dapat kemenangan 4-0 di Hulu Selangor.
“Selaku Ahli Parlimen di sini, saya akan gabungkan Kuala Kubu Baharu ini bersama Batang Kali dan Hulu Bernam untuk membantu masyarakat tidak kira bangsa dan agama,” katanya.
Justeru, katanya, beliau berharap pengundi di Kuala Kubu Baharu akan menhadiah kemenangan kepada PN.- UTUSAN










