PARIT BUNTAR: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) meletakkan sasaran untuk merampas semula kerusi Parlimen dalam daerah Kerian, Perak yang disapu bersih Perikatan Nasional (PN) semasa pilihan raya lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), PN menang 7-0 apabila menyapu bersih dua kerusi Parlimen, iaitu Parit Buntar dan Bagan Serai.
Selain itu, PN turut memenangi kesemua lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dalam dua Parlimen tersebut iaitu, Alor Pongsu, Gunung Semanggol serta Selinsing (Bagan Serai), Titi Serong dan Kuala Kurau (Parit Buntar).
Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, gabungan PH-BN yang membentuk kerajaan Perpaduan Perak mahu merampas kerusi Parlimen dan DUN dalam daerah Kerian itu.
“Ada dua Parlimen, ada lima DUN. Kita tiada pilihan lain, kita kena rampas,” katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan dalam Konvensyen Kerajaan Perpaduan Madani peringkat daerah Kerian di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yang merupakan antara nama besar PH yang tumbang semasa PRU-15 apabila kalah dalam pertandingan di Parlimen Parit Buntar.
Dalam konvensyen tersebut, antara keyakinan pemimpin PH-BN untuk merampas kerusi di Kerian adalah berlandaskan kiraan bahawa campuran undi yang diperolehi oleh calon BN dan PH pada PRU-15 sudah cukup bagi mengatasi undi wakil PN.
Bagaimanapun sebelum ini, timbul persoalan tentang perbezaan persefahaman antara BN dan PH terutama di peringkat akar umbi, memandangkan kerjasama kedua-dua parti hanya dibentuk selepas PRU-15.
Ketika bercakap dengan pemberita, Saarani berkata tidak ada petanda yang boleh memberi gambaran wujudnya masalah.
“Kita tak ada dengar bunyi kecoh, kalau ada kecoh baru kita ada masalah. Di peringkat cawangan-cawangan kita sudah selesai pelantikan ketua kampung, ada daripada Amanah atau PH, ada daripada BN. Kita sudah beritahu kena lantik ahli jawatankuasa terdiri daripada pelbagai parti.
“Setakat ini saya tidak ada dengar masalah besar, kecuali ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi dan saya yakin itu boleh ditangani dengan baik,” katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Menteri Besar Perak melihat lawatan kerjanya ke Jepun dan Korea Selatan beberapa hari lalu adalah positif apabila terdapat syarikat dari dua negara itu berminat untuk melabur di negeri ini.
“Kita menjemput mereka datang dan bulan Mei dan Jun ini akan ada rentetan dari Korea dan Jepun untuk datang ke Perak bagi kita tunjukkan tempat dan menceritakan tentang polisi yang memudahkan mereka untuk melabur,” katanya. – UTUSAN










