Amang seksual: Inspektor akan ditahan kerja - Utusan Malaysia

Amang seksual: Inspektor akan ditahan kerja

M. KUMAR dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang Inspektor yang ditahan kerana disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan Isnin lalu akan dikenakan tindakan tahan kerja.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, tindakan itu akan dikuatkuasakan selepas pihaknya mendapat arahan daripada Bukit Aman, namun tempoh tahanan reman terhadap pegawai lelaki berusia 29 tahun itu tamat hari ini dan akan dibebaskan dengan jaminan polis.

“Suspek dalam proses tindakan tahan kerja dan surat tahan kerja akan diedar selepas mendapat arahan dari Bukit Aman. Tindakan tahan kerja akan dikenakan sehingga keputusan kes di mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Rabu lalu, Kumar dilaporkan berkata, lelaki tersebut ditahan di sekitar Seri Alam selepas laporan polis dibuat mangsa pada hari sama kejadian dipercayai berlaku di kawasan Taman Johor Jaya, di sini.

Pegawai yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian direman bermula Selasa lalu hingga hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Dalam pada itu, Kumar memberitahu, dua anggota polis di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini yang disyaki terlibat kes pemerasan terhadap dua orang awam telah ditahan kerja.

Sebelum ini, anggota polis berusia 33 dan 34 tahun itu dibenarkan kembali bekerja di bahagian lain di dalam Kontinjen Johor selepas tamat tempoh reman terhadap mereka.

“Kedua-dua anggota yang terlibat kes pemerasan itu telah dikenakan tindakan tahan kerja setelah permohonan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) IPK Johor dibenarkan Bukit Aman,” katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan kedua-dua anggota terbabit ditahan reman bagi membantu siasatan dakwaan melakukan peras ugut sebanyak RM1,000 terhadap seorang mangsa lelaki berusia 50 tahun pada 4 Januari lalu dan dakwaan sama terhadap seorang mangsa lelaki berusia 29 yang juga bekerja di Singapura pada 2 April lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×