HULU TERENGGANU: Peluang calon Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri(DUN) Kuala Kubu Baharu, 11 Mei depan dilihat seimbang antara parti yang bertanding.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, masih terlalu awal bagi semua pihak membuat sebarang rumusan atau andaian berhubung peluang kemenangan calon.
“Pada peringkat awal kempen PRK itu didapati peluang calon PH dan parti pencabar lain dilihat 50-50,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Tautan Kasih Aidilfitri UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Pekarangan Pejabat Penyelaras Dun Telemong, dekat sini, hari ini.
Beliau berkata, semua parti komponen di dalam PH sememangnya sudah dalam keadaan siap sedia untuk memenangkan calon yang mewakili kerajaan perpaduan.
“Kita akan berusaha yang terbaik untuk hadapi PRK kali ini dan semestinya ingin melihat kemenangan menjadi milik atau berpihak kepada calon PH,” katanya.
PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan menyaksikan pertandingan empat penjuru termasuk seorang calon Bebas wanita.
Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang juga calon PH, Pang Sock Tao berhadapan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut; calon Parti Rakyat Malaysia (PRM); Hafizah Zainudin (PRM) serta Nyau Ke Xin (Bebas).
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Bharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara. – UTUSAN










