Daphne Iking, melawan hati yang berbolak balik

Daphne Iking, melawan hati yang berbolak balik

PETALING JAYA, 27 MAC 2024 - Sesi fotografi bersama Daphne Iking di Studio Media Mulia Sdn. Bhd., Quattro West di sini, hari ini. Gambar; MUHAMAD IQBAL ROSLI/Pemberita; AL FAIZAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGACARA jelita ini sebelum ini mencuri tumpuan selepas membuat keputusan untuk mengenakan hijab beberapa tahun lalu.

Daphne Iking, sebelum ini menjelaskan keputusan tersebut bertitik tolak daripada keinginannya untuk menyembunyikan masalah uban kerana waktu itu, dia berniat untuk secara semula jadi memanjangkan rambutnya tanpa perlu menggunakan pewarna sebelum dipotong untuk disumbangkan kepada pesakit kanser.

Pelbagai cara yang digayakan pengacara berusia 45 tahun ini untuk menutup rambutnya. Adakala dia mengenakan tudung, turban, memakai topi atau hoodie. Apa yang dilalui Daphne mungkin satu proses ke arah menjadi Muslimah yang lebih baik.

Namun tidak semua faham proses itu malah ada pihak yang mudah mengkritik hanya disebabkan dia, adakalanya tidak mengenakan hijab dengan sempurna.

Daphnie akui keadaan itu, meskipun tidak banyak, tetap memberi kesan kepada perasaan, sehingga menimbulkan keraguan dalam dirinya dan persoalan sama ada layak atau tidak dia berhijab.

“Ada ketika, saya merasakan karakter yang saya tonjolkan tidak sehaluan dengan imej saya yang berhijab. Saya harap masyarakat tak salah faham. saya suka mengenakan hijab. Namun ada masanya, saya hanya mahu menutup kepala dengan topi atau hoodie.

“Saya bukanlah Muslimah paling solehah seperti yang orang lain anggap sebaik sahaja saya mula mengenakan hijab. Bahkan saya belum pun khatam al-Quran serta masih perbaiki amalan sebelum saya sendiri merasakan diri saya layak untuk mendidik anak-anak tentang mendirikan solat dengan sempurna.

“Pada masa sama, kritikan netizen apabila saya tidak sempurna berhijab dengan sedikit sebanyak menambah keraguan dalam diri saya dan membuatkan saya tertanya-tanya, adakah saya layak berhijab?” katanya.

PETALING JAYA, 27 MAC 2024 – Sesi fotografi bersama Daphne Iking di Studio Media Mulia Sdn. Bhd., Quattro West di sini, hari ini. Gambar; MUHAMAD IQBAL ROSLI/Pemberita; AL FAIZAL

Dalam apa keadaan sekali pun, Daphne bersyukur kerana masih diberi jentikan hati untuk meneruskan memakai hijab. Katanya, mungkin itu antara doa-doanya yang dijawab Tuhan.

“Yang membuatkan saya kekal berhijab mungkin disebabkan keyakinan saya terhadap konsep yang bahawasanya Islam adalah agama yang harmoni dan sejahtera.

“Dan sejujurnya, saya merasakan ada sahaja halangan apabila dalam hati saya ini berbolak balik, timbul keinginan untuk mendedahkan sedikit rambut saya. Disebabkan itu, dalam apa juga keadaan, saya tidak terus free hair, sebaliknya masih menutup rambut dengan hoodie atau topi.

“Mungkin ini petunjuk dari Allah kerana sebelum ini saya pernah dimaklumkan bahawa kalau Tuhan tidak lagi peduli tentang kita, Dia akan biarkan kita berbuat sesuka hati kita,” kongsinya.

TOLAK PERMINTAAN BUKA HIJAB

BERCERITA pengalaman selepas mengenakan hijab, Daphne, seperti wanita lain diuji dengan pelbagai cabaran yang adakalanya, cukup menduga.

Dia tidak menolak wujudnya pihak-pihak yang seakan-akan tidak mengenal erti sensitiviti, sewenang-wenangnya meminta dia menanggalkan hijabnya sebagai syarat untuk menjadi pengacara sesebuah majlis.

“Ada dua tiga penganjur yang menawarkan saya kerja pengacaraan namun meminta saya membuka hijab.

“Tentunya saya menolak kerana permintaan seperti itu menunjukkan mereka tidak sensitif terhadap wanita Muslim.

“Kalau saya kejarkan wang ringgit, boleh sahaja saya menuruti permintaan penganjur tersebut. Namun saya menganggap permintaan mereka itu tidak sensitif, lalu menolaknya,” jelasnya.

PETALING JAYA, 27 MAC 2024 – Sesi fotografi bersama Daphne Iking di Studio Media Mulia Sdn. Bhd., Quattro West di sini, hari ini. Gambar; MUHAMAD IQBAL ROSLI/Pemberita; AL FAIZAL

Namun dalam kepahitan, Allah turunkan kemanisan selepas ujian. Rezeki telah ditentukan malah tawaran meragakan pakaian Muslimah dan pengacaraan majlis berprotokol sentiasa ada untuk wanita berkerjaya ini.

“Saya terima banyak tawaran untuk menggayakan pakaian menutup aurat dan patuh syariah.

“Mungkin itulah rezeki apabila berhijab, saya pun tidak pasti perkara itu. Apa pun, saya teruskan. Ia tidaklah sukar.

“Yang jelas, ramai penganjur yang meminta saya mengacarakan majlis berprotokol atau yang lebih bersesuaian dengan konsep kemelayuan. Alhamdulillah, saya anggap itu itu rezeki,” tambahnya.

HARI RAYA CARA SENDIRI

BERBEZA dengan kebanyakan keluarga lain, Daphne dan keluarganya memilih untuk menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri dengan bercuti ke negara lain. Katanya, aktiviti tersebut menjadi kebiasaan yang diteruskan bahkan selepas mendirikan rumah tangga.

“Menjadi satu kemestian, setiap kali Hari Raya Aidilfitri kami sekeluarga akan pergi bercuti ke luar negara. Itu menjadi rutin yang kami amalkan sejak 15 tahun lepas.

“Tahun ini kami bercuti di Korea Selatan. Memang menyeronokkan, ibarat pulang ke kampung ketika sambutan Pesta Kaamatan. Begitulah terujanya kami sekeluarga bercuti ketika Hari Raya Aidilfitri.

“Sebenarnya saya lebih teruja menyambut Ramadan kerana berpuasa adalah satu amalan yang sinonim dengan saya, bahkan sebelum saya memeluk Islam lagi.

“Jadi, Hari Raya Aidilfitri tetap dianggap satu kejayaan selepas sebulan berpuasa meskipun kami menyambutnya dengan cara kami sendiri iaitu pergi melancong ke luar negara,” katanya.

PETALING JAYA, 27 MAC 2024 – Sesi fotografi bersama Daphne Iking di Studio Media Mulia Sdn. Bhd., Quattro West di sini, hari ini. Gambar; MUHAMAD IQBAL ROSLI/Pemberita; AL FAIZAL

Namun, kata Daphne, Hari Raya tetap menjadi tempoh yang diutamakan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan, justeru masih dimeriahkan dengan majlis kecil-kecilan yang dianjurkan untuk menghubungkan silaturrahim.

“Kebiasaan yang mungkin sama dengan keluarga lain adalah rutin membersihkan rumah menjelang Syawal selain bergotong royong bersama anak-anak untuk menghasilkan biskut Raya.

“Dan seperti tahun-tahun yang sudah, sebaik sahaja pulang dari luar negara, kami akan jemput keluarga atau rakan terdekat datang ke rumah dan jamu mereka dengan masakan saya.

“Ia bukanlah rumah terbuka, cuma majlis kecil-kecilan yang saya anjurkan untuk keluarga dan rakan-rakan saya,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×