KUALA TERENGGANU: Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu (DUN) hari ini sebulat suara meluluskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) kerana merampas kedaulatan negeri terutama membabitkan pembayaran royalti minyak.
Usul tersebut yang dikemukakan oleh Nurkhuzaini Ab Rahman (Pas-Kota Putera) mendapat sokongan semua setelah dibahas oleh empat ahli dewan.
Empat wakil rakyat yang membahaskan usul tersebut ialah Mohd Yusop Majid (Bersatu-Permaisuri), Khazan Che Mat (Bersatu-Seberang Takir), Ir. Saiful Azmi Suhaili (Pas-Kemasik) dan Zaharuddin Zahid (Pas-Bukit Tunggal) manakala penggulungan usul dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Pas-Ru Rendang).
Yang Dipertua DUN Terengganu, Datuk Mohd. Nor Hamzah berkata, usaha tersebut adalah untuk mengembalikan hak royalti kepada Terengganu yang telah dinafikan selama ini.
“Saya buka undian dan telah mendapat sokongan semulat suara untuk usul ini diluluskan,” katanya dalam ucapan penggulungan persidangan DUN Terengganu di sini, hari ini.
Selain Terengganu, dua negeri yang lain juga telah menolak akta tersebut sebelum ini iaitu Kelantan dan Sabah.
Sementara itu, Ahmad Samsuri ketika ditemui pemberita di luar dewan pula menegaskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) itu adalah tanda solidariti semua wakil rakyat terhadap isu royalti yang menekan kerajaan negeri ketika ini.
Menurutnya, kerajaan negeri akan meneliti apa yang boleh dibuat selepas ini di peringkat negeri Terengganu.
“Di peringkat Kerajaan Persekutuan, mereka boleh mengambil sikap berdiam diri tak buat apa-apa seperti mana yang berlaku di Kelantan.
“Namun begitu (usul menolak akta) ini menunjukkan yang kita tidak puas hati terhadap apa dialami, penafian (royalti) dibuat menggunakan akta tersebut.
“Kita akan tangani satu persatu, the game is not over yet, namun tidaklah sampai hendak bergaduh atau bermusuh, hubungan baik akan sentiasa diteruskan sejak hari pertama kita memerintah Terengganu,” katanya. – UTUSAN










