MARAN: Seorang lelaki warga Indonesia maut dipanah petir ketika berteduh di bawah pokok rambai semasa bekerja di Ladang Sawit Blok 19, Lot Individu Felda Jengka 14 di sini.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, seorang pengadu ketika berada di Pondok Resit Felda Jengka 14 menerima panggilan daripada seorang pekerja dikenali sebagai Ahman tentang rakannya bernama Kamarudin berusia 40 tahun berasal dari Lombok dipanah petir semasa bekerja di ladang tersebut kira-kira pukul 1.30 tengah hari semalam.
“Menurut Ahman, dia pergi ke blok ladang tersebut dan mendapati mangsa terbaring tidak sedarkan diri dipercayai meninggal dunia di bawah pokok rambai. Pengadu terus ke balai ini untuk membuat laporan polis.
“Berikutan laporan pengadu. Ketua Pegawai Balai Polis Sungai Jerik, Maran bersama tiga orang anggota dari Balai Polis Bandar Pusat Jengka dan seorang jurugambar telah pergi ke tempat kejadian di Ladang Sawit Blok 19 Felda Jengka 14,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini.
Menurut Mohamad Zamri, setiba di tempat kejadian, polis menemukan seorang mangsa terbaring di tepi pokok rambai dan pemeriksaan terhadap tubuh badan si mati mendapati tiada sebarang kesan lebam atau luka yang boleh dikaitkan dengan perbuatan khianat.
“Pemeriksaan di kawasan persekitaran mendapati terdapat kesan pada pokok rambai dipercayai terkena panahan petir. Polis juga menemu bual rakan mangsa bernama Nurul Ahwan yang memberitahu ketika kejadian mereka berdua berehat di bawah pokok rambai kerana hujan.
“Oleh kerana masih terkena hujan, dia (Nurul Ahwan) berpindah ke bawah pokok sawit berdekatan, tetapi mangsa enggan dan masih berada di bawah pokok rambai,” katanya.
Beliau berkata, tidak lama kemudian, Nurul Ahman ternampak cahaya disusuli bunyi yang kuat terkena kepala Kamarudin dan mendapati mangsa kemudian terbaring serta tidak sedarkan diri di tepi pokok rambai.
Ujarnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian. – UTUSAN










