PETALING JAYA: “Saya minta maaf. Tidak sepatutnya saya ambil tahu atau masuk campur urusan rumah tangga orang lain.”
Demikian penegasan pelakon, Emma Maembong yang turut terpalit sama dalam kemelut melibatkan Bella Astilah, Ruhainies, Aliff Aziz dan kekasih gelapnya, Sarah Yasmin.
Emma membuat permohonan maaf sejurus selepas ‘diserang’ warganet setelah namanya turut tersenarai dalam tangkap layar perbualan antara Ruhanies dan Aliff yang dimuat naik Sarah.
“Bukan niat saya untuk jadi penyibuk dalam urusan rumah tangga mereka. Saya hubungi Ruhainies untuk mendapatkan kepastian mengenai khabar angin yang tersebar.
“Memang betul saya ada berbual dengan Ruhainies mengenai cerita yang saya dengar tentang Bella. Antara Ruhainies dan Bella, saya lebih rapat dengan Ruhainies kerana kami sering berkongsi masalah bersama.
“Jadi, apabila ada orang bercerita pasal Bella melibatkan Ruhainies, saya pun terus ‘voice note’ dia dan bertanyakan tentang khabar angin itu,” kongsinya.
Emma berkata demikian dalam satu video yang dimuat naik dan tular di media sosial semalam.
Pelakon itu dalam masa sama turut menegaskan, dia tidak memfitnah, mengutuk apatah lagi menyebelahi mana-mana pihak dalam kemelut tersebut.
“Apa yang saya katakan adalah satu pertanyaan selepas mendengar orang di set bercakap tentang Bella, Ruhainies dan Aliff.
“Memang silap saya kerana sibuk bertanya. Bagaimanapun ‘voice note’ saya itu tiba-tiba sudah sampai di tangan Bella.
“Saya minta maaf kepada semua atas salah faham yang terjadi. Perkara ini tidak akan jadi begini kalau saya tanya terus kepada Bella, walhal cara itu lebih baik,”katanya.
Jelas Emma, hubungannya dengan Bella hanyalah sekadar rakan idnustri berbanding Ruhainies yang lebih rapat dan sering berkongsi masalah.
“Antara saya dan Bella, kami hanya rakan dalam industri dan sering berjumpa di acara hiburan saja berbanding Ruhainies yang saya lebih rapat.
“Sepanjang saya sibuk menjalani penggambaran, kes Bella memang kecoh dalam kalangan kru produksi. Ramai yang bertanya mengenai kisah rumah tangganya, tapi saya cakap saya tidak tahu,” katanya.











