Jenazah Wan Rezaudeen Kamal selamat dikebumikan - Utusan Malaysia

Jenazah Wan Rezaudeen Kamal selamat dikebumikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK – Jenazah Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, kira-kira pukul 10.20 malam tadi.

Pemergian Allahyarham diringi air mata isteri, Alia Amalina Mohd Nor dan anak perempuannya, Wan Alyan Riz apabila mencium keranda Wan Rezaudeen Kamal beberapa kali sebelum dikebumikan.

Selepas pengkebumian Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyerahkan ‘Ensign’ TLDM kepada keluarga Allahyarham.

Talkin dibacakan oleh Pegawai Agama KD Sultan Abdul Aziz Shah, Mejar Aswad Abd Rahman.

Jenazah diberikan penghormatan terakhir oleh pegawai-pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sambil disaksikan ahli keluarga dan sahabat handai sebelum dikebumikan.

Turut hadir ialah Timbalan Panglima Tentera Laut Laksmana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin disembahyangkan di Masjid Salahuddin Al-Ayubbi, Taman Melati, Setapak pada pukul 8.55 malam.

Pada Selasa, TLDM mengesahkan 10 anggota meninggal dunia susulan tragedi dua buah pesawat bertembung di udara dalam kejadian di Pangkalan TLDM, Lumut.

TLDM menerusi kenyataan berkata, insiden tersebut berlaku ketika raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.

Menurutnya, kejadian melibatkan Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) TLDM dan sebuah helikopter Fennec TLDM.

Kesemua jenazah tiba di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh kira-kira pukul 6 petang semalam untuk proses bedah siasat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN