PETALING JAYA: Proses bedah siasat terhadap 10 mangsa nahas helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak selesai sepenuhnya pada jam 2.20 petang tadi.
Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut dalam satu kenyataan berkata, susulan itu, jenazah mangsa beragama Islam akan dibawa ke Kem Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Ipoh untuk sembahyangkan.
Menurutnya, mendiang Leftenan Sivasutan Thanjappan pula dibawa pulang ke kediaman keluarganya di Sitiawan, Perak sebelum disemadikan pada esok hari.
“Sementara itu, jasad mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia anak Rohna akan dibawa pulang ke Serian, Sarawak untuk disemadikan menggunakan pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak pengurusan tertinggi TLDM yang dilantik telah menghubungi waris mangsa melalui unit masing-masing tentang kejadian ini.
“TLDM akan terus memberi sokongan dari segi bantuan pengurusan jenazah dan sebarang keperluan daripada pihak waris sebaik mungkin.
“Penghormatan terakhir buat semua wira TLDM yang terkorban akan dilaksanakan mengikut tradisi tentera laut di setiap lokasi pengebumian yang dipersetujui waris,” katanya.–UTUSAN










