MEMBANTU komuniti memerlukan dengan teknik jahitan untuk menjana pendapatan. Itu yang dilakukan melalui projek memperkasa komuniti yang digerakkan oleh UmieAktif.
Pengasasnya, Nik sin Nik Man berkata, projek memperkasa komuniti itu dibangunkan dengan gandingan bahu bersama rakan, Lawrence Anak Abus.
Jelasnya, objektif utama penubuhan UmieAktif ialah untuk membantu golongan memerlukan bagi menambahkan pendapatan keluarga dan juga peluang menjana pendapatan.
Pada permulaan penubuhan projek itu, Nik Sin terlebih dahulu belajar teknik jahitan insang pari melalui saluran Youtube sebelum beliau mengajar teknik jahitan tersebut kepada ahli- ahli UmieAktif.
“Di sini kami mengajar semua ahli dengan asas jahitan biasa iaitu insang pari.
“Selepas mereka mahir, mereka akan menghasilkan produk jahitan sendiri seperti plush toy, tote bag, keychain, tikar perkelahan dan sebagainya.
“Malah, dari semasa ke semasa kami akan tingkatkan kemahiran peserta UmieAktif dengan memperkenalkan teknik jahitan baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kumpulan pertama ditubuhkan adalah UmieAktif Chowkit dan diikuti di Kampung Melayu Ampang.
Seterusnya, melalui program Bersama Jabatan Pembangunan Wanita, projek itu telah menubuhkan tiga kumpulan baharu iaitu UmieAktif Kelantan, Terengganu dan Pahang.
KUMPULAN SOKONGAN
Tambah Nik Sin yang juga Pegawai Ukur di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), projek ditubuhkan sejak 2017 itu, pernah dianugerahkan sebagai Pemenang Utama untuk anugerah Star Golden Heart Award.
Sekaligus dipilih oleh Yayasan Gamuda sebagai penerima Anugerah STAR GAMUDA Inspiration Award serta menerima dana sebanyak RM50,000 daripada yayasan itu.
“Pelbagai program kami laksanakan antaranya pernah bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Wanita negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang untuk sebuah program bagi memperkasa masyarakat di tempat-tempat yang terpilih di ketiga-tiga negeri ini.
“Kami juga pernah mewujudkan kelas komunikasi untuk peserta-peserta di dalam Kumpulan UmieAktif bagi meningkatkan kemahiran komunikasi dan keyakinan mereka,” jelasnya.

Projek berkenaan turut berperanan sebagai kumpulan sokongan untuk golongan seperti ibu tunggal, golongan miskin kota, pelarian dan individu tanpa kerakyatan.
“Kami juga membantu para peserta daripada segi emosi dan sebagainya.
“Ia dilakukan melalui perjumpaan di dalam kelas menjahit di mana para peserta boleh berkongsi masalah dan rutin harian masing-masing,” jelasnya lanjut.
Produk hasilan daripada projek ini pernah terpilih di antara kraftangan seluruh Malaysia untuk dimasukkan ke dalam Balau Box sebagai cenderahati kepada pemimpin-pemimpin dunia sempena APEC 2020.
“Pemimpin Rusia, Vladimir Putin pernah bergambar bersama product Monster Keychain kami semasa persidangan APEC 2020.
“Perkara ini telah membuka peluang untuk kami bekerjasama dengan Russia House in Kuala Lumpur di mana mereka telah menjemput UmieAktif menyertai pertandingan membuat Christmas tree ornaments di State Hermitage Museum St Petersburg, Russia.
“Sebanyak empat ornaments daripada kami telah diterbangkan ke sana dengan kerjasama Kedutaan Rusia di Malaysia dan semua ornament tersebut Berjaya dipilih antara 100 ornaments yang digantung di Hermitage Museum,” kongsinya.











