Wajah Mohd. Shahrizan tenang, seperti tidur - Utusan Malaysia

Wajah Mohd. Shahrizan tenang, seperti tidur

MOHD. Termizi Abdul Ghani menunjukkan gambar anaknya, Mohd. Shahrizan Mohd. Termizi yang maut dalam kejadian helikopter TLDM terhempas di Lumut. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Jasad Pegawai Waran II, Mohd. Shahrizan Mohd. Termizi, 41, yang maut dalam nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut hari ini dilihat seolah-olah sedang tidur.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perkara itu dikongsikan bapa Allahyarham, Mohd. Termizi Abdul Ghani, 68, ketika pengecaman mayat anak sulung daripada tujuh beradik itu di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut.

Menurut Mohd. Termizi, dia dan isteri, Hasnah Yasin, 67, masuk ke dalam Unit Forensik HAT untuk melihat jasad Mohd. Shahrizan dan raut wajah anaknya itu kelihatan tenang.

“Dua kali saya masuk untuk lihat, pertama bersama isteri dan kedua bersama adik arwah. Keadaan wajah arwah okay, muka dia pun tenang seperti tidur.

“Cuma doktor maklumkan arwah mengalami kecederaan tangan dan kaki……split (putus),” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Bunga Tanjung, Lekir di sini hari ini.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian menimpa Mohd. Shahrizan sekitar pukul 10 pagi selepas dihubungi anaknya yang memaklumkan helikopter terhempas namun tidak memberitahu keadaan sebenar lelaki itu.

Katanya, dia yang ketika itu berada di Ipoh segera berpatah balik ke Lumut dan beranggapan insiden tersebut tidak serius sehingga mengorbankan mangsa.

“Mula-mula saya fikir terhempas yang ringan, jadi saya doa banyak-banyak sepanjang perjalanan agar dia selamat. Tidak lama lepas itu, saya dihubungi lagi beritahu dia telah tiada.

“Ketika itu, saya cakap dengan diri untuk reda. Kita tahu yang kerja arwah berisiko tinggi dan kematian boleh berlaku di mana-mana.

“Bagaimanapun, sebagai bapa saya bangga dengan arwah kerana dia meninggal dunia ketika sedang berkhidmat untuk negara,” ujar pesara kerajaan itu.

Mengulas mengenai perwatakan bapa kepada tiga cahaya mata itu, Mohd. Termizi berkata, Mohd. Shahrizan adalah seorang anak yang bertanggungjawab dan akrab dengan adik-beradik.

“Kali terakhir saya jumpa arwah ketika dia datang ke rumah Sabtu lalu, dia pun tinggal dekat di Taman Lekir Indah. Ketika itu, tiada perubahan yang dilihat cuma dia ada beritahu akan jalani latihan (untuk raptai).

“Hari Raya Aidilfitri lalu pun dia dapat cuti dan kami berkumpul ramai-ramai. Jarang untuk dapat kumpulkan anak-anak pada satu Syawal, tidak sangka itu jadi kenangan yang terakhir,” katanya.

Allahyarham Mohd. Shahrizan meninggalkan seorang balu, Noor Ain Mohammad Ariffin, 41, dan tiga anak masing-masing berusia 21, 18 dan 15 tahun.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Lekir selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN