Tugas sebagai ‘tukang masak’ di hotel lima bintang, bukan sekadar menyediakan hidangan enak tetapi bertanggungjawab memastikan menu disediakan, berkualiti serta menyihatkan.
Sous Cef Restoran Poolhouse, Grand Hyatt Kuala Lumpur, Mohd. Izmin Khairi, 32, dan pasukannya perlu memerah otak untuk menghasilkan masakan berkhasiat untuk pelanggan berkunjung di restoran itu.
“Memang mencabar untuk menukar makanan kegemaran ramai masyarakat di negara ini seperti nasi goreng dalam bentuk hidangan lebih sihat tetapi pada masa sama mengekalkan rasa aslinya yang sedap.
“Bahan-bahan utama dalam masakan nasi goreng ditukar dengan barli atau cauliflower bagi menggantikan beras atau nasi bagi mengurangkan kandungan karbohidratnya dan lebih tinggi fiber,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada acara pesta makanan #DinewithChef yang diadakan di Poolhouse, hotel berkenaan, baru-baru ini.
Selain beliau, #DinewithChef turut menghimpunkan enam lagi cef dari rangkaian hotel Hyatt dari seluruh dunia yang mempamerkan hidangan berdasarkan kepakaran masing-masing dalam bidang masakan.
Mohd. Izmin menawarkan hidangan sihat iaitu Soba Miso Glazed Tofu.

Hidangan itu selaras dengan konsep Poolhouse yang mengetengahkan makanan penuh khasiat.
“Menu ini sangat ringan tetapi mengenyangkan kerana mengandungi karbohidrat daripada tofu dan soba. Sebenarnya makanan sihat pun boleh menjadi enak jika bijak memilih bahan yang digunakan dalam masakan,” katanya.
Tambahnya, lebih banyak makanan sihat bakal diperkenalkan seperti hidangan barbeku ‘green and grill’ yang sihat dan pemanis mulut seperti aiskrim bebas gula, gluten dan bahan tenusu.
Bukan kali pertama Mohd. Izmin bekerja dengan pelbagai cef dari seluruh dunia tetapi baginya tekanan kali ini agak berbeza, memandangkan sasaran masing-masing untuk menampilkan hidangan terbaik.
“Sejak bekerja selama 14 tahun dalam industri perhotelan, acara seperti ini memang cukup mencabar tetapi pada masa sama, cukup memberikan kepuasan,” katanya.
Antara hidangan disediakan buat hadirin pada acara berkenaan ialah udang ranggup disaluti bijan putih dan hitam dihidang sos cili dan limau purut, bebola kambing yang digoreng dan dihidang bersama pita serta ditaburi biji delima, keju dan krim di bahagian atasnya serta Ricotta yang dihidangan bersama hirisan cendawan.
Tetamu turut terpegun dengan pastri pemanis mulut sepanjang lima meter yang dihasilkan menggunakan coklat putih dan dimakan bersama hirisan buahan-buahan seperti rasberi, strawberi, mangga dan buah naga. Lebih menambah selera apabila ia disirami coklat.
Sementara itu, Cef Eksekutif Grand Hyatt Kuala Lumpur, Cef Grzegorz Odolak berkata, semua hidangan itu akan dihidangkan di semua rangkaian restoran Hyatt.
“Semua hidangan dihasilkan oleh Cef dari Malaysia, Norway, Itali, Jepun dan Jerman dengan menampilkan kepakaran masing-masing.
“Sebagai penggemar makanan dan pakar kulinari kreatif, kami sentiasa mencari cara baharu untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman kami pelajari dengan tetamu dan rakan kami,” katanya.
Berpegang teguh kepada prinsip Hyatt ‘Food Thoughtfully Sourced, Carefully Served’, Cef Greg sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan kulinari dan kelestarian, melalui kerjasama dengan pembekal tempatan yang mementingkan alam sekitar seperti Cultiveat untuk menjadikan hotel berkenaan sebagai hab kreativiti dan kelestarian.
TANAM 80 HERBA
Bagi Pengasas Cultiveat, John Hans Oei, bagi mencapai impian itu, projek penanaman lebih 80 jenis herba lettuce dan 40 herba lain dijalankan di tingkat 5 hotel berkenaan.
“Antaranya Butterhead, Romaine, Mini Cos, Frisee, Oakleaf, Coral, Endive dan Batavia. Kesemua herba bagi memenuhi keperluan restoran yang menghidangkan herba dan salad segar,” katanya.
DinewithChef
Pertama kali dilancarkan pada 2023, #DinewithChef diadakan bagi menghimpunkan pencinta serta penggemar makanan dan pakar kulinari kreatif sebagai menghargai seni penyajian makanan.
Siri ini akan mempamerkan pelbagai ruang, termasuk restoran THIRTY8 dan JPteres yang terkenal, restoran separa terbuka POOLHOUSE, dan dewan acara yang baru dibuka di Level 5 Grand Hyatt Kuala Lumpur.
Sepanjang bulan Mei,#DinewithChef akan menampilkan kemeriahan kolaborasi gastronomi antara ketua chef dan chef jemputan bagi menjayakan pelbagai acara yang telah disusun khas di hotel itu bermula dari 9 Mei 2024, diketuai Cef Grzegorz Odolak iaitu cef veteran Hyatt dengan lebih dari dua dekad pengalaman profesional dalam dunia kulinari.
Cef Greg memulakan kerjaya di tanah airnya di Poland, beliau berjaya mencipta namanya yang tersendiri di beberapa hotel Hyatt di seluruh dunia, termasuk Hyatt Regency Warsaw di Poland, Hyatt Regency Dubai, Grand Hyatt Doha Hotel & Villas, dan Park Hyatt Chennai.
“Siri #DinewithChef 2024 menjadi wadah untuk kami mempamerkan kehebatan dankepelbagaian pasukan cef yang dihimpunkan oleh Hyatt di Kuala Lumpur.
“Ia menjadi wadah untuk kami mempamerkan kehebatan dan kepelbagaian pasukan cef yang dihimpunkan oleh Hyatt di Kuala Lumpur sebagai tanda penghormatan kami kepada sebuah bandar raya yang dinamik, serba moden dan penuh dengan pengembaraan gastronomi,” katanya.
Setiap seorang daripada cef akan membawakan perspektif yang berbeza terhadap makanan dan pengalaman menjamu selera, serta memberi peluang kepada tetamu untuk merasai sendiri rasa yang serba baharu di samping meluaskan lagi perspektif mereka,” jelas Cef Greg.
Beliau yang bekerja dengan hotel Hyatt sejak lebih dua dekad, berharap menerusi siri #DinewithChef 2024 ini, tetamu boleh mempelajari mengenai makanan daripada pelbagai budaya dan dapat menghargai kualiti masakan tempatan dan antarabangsa yang dipersembahkan.
Cef Greg memulakan kerjaya di tanah airnya di Poland. Beliau berjaya mencipta namanya yang tersendiri di beberapa hotel Hyatt di seluruh dunia, termasuk Hyatt Regency Warsaw di Poland, Hyatt Regency Dubai, Grand Hyatt Doha Hotel & Villas, dan Park Hyatt Chennai.
Barisan cef lain terbabit adalah Chef Eksekutif, Stig Drageide dari Norway dan Chef Pastri Eksekutif, Holger Deh dari Jerman.
Cef Stig pernah berkhidmat di beberapa restoran terkemuka termasuk Bagatelle di Oslo, satu-satunya restoran di Norway yang dianugerahkan dengan dua bintang Michelin sehingga 2012, Hotel Hyatt diseluruh dunia, dan Hotel Continental di Norway.
Cef Holger pula adalah cef pastri terkemuka antarabangsa dengan kepakaran dari restoran terkemuka seperti Rosewood Hong Kong dan The Datai Langkawi, hingga ke restoran Haerlin di Raffles Hotel Vier Jahreszeiten Hamburg yang menerima bintang Michelin dalam tempoh dua tahun.
Turut menyertai barisan cef terkemuka lain ialah Chef Eksekutif Hyatt Centric City Centre Kuala Lumpur, Cef Vincenzo Carbone.
Beliau berpengalaman lebih dari 30 tahun berkhidmat di restoran dan hotel di seluruh dunia termasuk Itali, Switzerland, Oman, UK, Korea Selatan, China, Jepun, Singapura, Hong Kong, Turki, dan New Zealand.
Memulakan kerjayanya di Circolo Della Stampa di Naples di mana beliau mula membina pendekatannya unik terhadap masakan Itali. Antara restoran pernah dikendalikan ialah CAPO (Shanghai), Mamma mia! (Shanghai, Guangzhou, Wuxi and Suzhou), 208 Duecento Otto (Hong Kong) dan PiPa (Istanbul).
Pada tahun 2022, beliau dilantik sebagai Chef Eksekutif Pakar untuk rantau Asia Pasifik.
Sebagai sebahagian daripada siri #DinewithChef 2024, beliau berjanji untuk mempersembahkan cita rasa Hyatt Centric City Centre Kuala Lumpur apabila ia dibuka nanti.











