JOHOR BAHRU: Sistem pengangkutan awam di bandar raya ini perlu ditingkatkan, antaranya dengan membangunkan pengangkutan awam berasaskan rel bagi memudahkan aksesibiliti serta mengurangkan kesesakan trafik.
Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PlanMalaysia), Datuk Dr. Alias Rameli berkata, langkah itu antara lain dapat menyokong agenda kerajaan bagi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar menjelang 2050.
Justeru, menurutnya, langkah itu perlu dilakukan segera memandangkan unjuran jumlah penduduk di Johor Bahru kira-kira 1.5 juta pada ketika ini akan meningkat menjadi 2.5 juta menjelang 2035.
“Bagi tempoh jangka panjang, jika mahu menjadi bandar rendah karbon, kita tidak ada pilihan selain bergerak kepada pengangkutan awam, antaranya berasaskan rel. Jika masih ramai yang menggunakan kenderaan sendiri, hasrat nak capai pelepasan karbon sifar menjelang 2050 tak akan tercapai.
“Bandar-bandar utama di negara terutamanya d Johor Bahru perlu melakukan peralihan ini seperti yang dilakukan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, secara tidak langsung dapat menyuraikan aliran trafik menerusi sambungan jaringan pengangkutan awam ini,” katanya selepas Majlis Kick Off Bagi Kajian Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) 2035 (Penggantian) dan Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) 2035 (Penggantian), di sini yang turut dihadiri Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman.
Minggu lalu, kerajaan negeri menyatakan hasrat untuk membangunkan sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat di Johor Bahru bagi mengatasi kesesakan di bandar raya ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, cadangan tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail untuk dibawa ke kerajaan Persekutuan bagi diperhalusi.
Pelaksanaan ART bertingkat itu sebagai persediaan berdepan peningkatan jumlah pengembara ke Singapura selepas Sistem Transit Rapid (RTS) mula beroperasi pada 2027.
Dalam pada itu, Mohd. Noorazam berkata, pelaksanaan sistem pengangkutan awam itu sebagai satu keperluan yang mendesak bagi mengatasi isu kesesakan trafik yang dijangka akan semakin buruk.
“RTS tidak akan selesaikan isu trafik kerana pengembara akan tetap keluar masuk ke kawasan pusat bandar. Oleh itu, perlu ada inisiatif penyuraian trafik yang komprehensif bagi mengatasi kesesakan selain memudahkan orang awam mendapat akses kemudahan awam tersebut.
“Sama ada ART atau Transit Aliran Ringan (LRT), itu biarlah Kementerian Pengangkutan yang putuskan. Jadi, apabila RTS siap, keperluan pengangkutan awam ini amat mendesak bagi penyuraian aliran trafik di bandar ini,” katanya. – UTUSAN











