DUNGUN: Seorang bekas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun maut manakala ibu dan bapanya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh sebuah lori di Kilometer 376.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Bukit Besi, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.03 petang, Abdul Rahman Abdul Rahim, 22, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran cedera parah di kepala dan beberapa anggota badan.
Ibu mangsa, Siti Nur Fatimah @ Ria Ramim Redwan, 57, dan Abdul Rahim Salleh, 63, cedera di beberapa bahagian anggota badan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, difahamkan ketika kejadian mangsa bersama ibu bapanya yang merupakan pesara guru dan tentera sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu untuk pulang ke kediaman mereka di Kuantan, Pahang.
“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Mitsubishi Xpander yang dipandu ibu mangsa dipercayai terbabas ke kiri jalan.
“Kenderaan tersebut kemudiannya merempuh bahagian belakang sebelah kanan sebuah lori jenis Hino yang sedang bergerak perlahan dan sedang melakukan pemeriksaan pagar di kawasan lebuhraya yang rosak untuk dibaiki,” katanya.
Maizura berkata, mangsa yang duduk di kerusi penumpang hadapan tersepit di dalam kenderaan itu dan dikeluarkan pasukan Bomba dan Penyelamat.
“Kedua-dua ibu bapa mangsa dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Dungun untuk menerima rawatan manakala mayat mangsa dibawa ke unit forensik hospital sama untuk tindakan lanjut,” katanya.
Maizura berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










