PETALING JAYA: Bekas senator, Datuk Ras Adiba Mohd. Radzi tidak lagi meneruskan misi pencarian Zalina Azman yang gagal dijejaki sejak dilaporkan hilang lebih dua tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ras Adiba memaklumkan keputusan itu dibuat selepas tiada petunjuk baharu ditemukan tentang keberadaan bekas personaliti TV3 itu.
“Mungkin sudah tidak (mencari). Tapi saya tak akan sesekali putus harapan.
“Kalau pergi ke mana-mana saya tetap akan bertanya kepada sesiapa, ada atau tidak mereka terlihat Zalina?
“Malangnya tiada petunjuk baru atau klu yang ditemukan tentang keberadaannya,” katanya.
Zalina dilaporkan hilang pada 29 november 2021 selepas gagal dihubungi oleh anaknya Mikhael Norman yang cuba memaklumkan bapa personaliti itu dimasukkan ke hospital.
Lebih menjadi tanda tanya apabila bekas pengacara rancangan Money Matters itu dikatakan keluar sehelai sepinggang berdasarkan penemuan dompet, wang tunai dan kereta di kediamannya di Seksyen 3, Shah Alam.
Kongsi Ras Adiba lagi, beliau masih merujuk pihak polis bagi mendapatkan perkembangan terkini tentang pencarian Zalina.
Bagaimanapun katanya, pihak berkuasa memaklumkan masih belum menerima petunjuk berkenaan perkara terbabit.
“Agak kerap juga saya hubungi polis untuk bertanyakan tentang sebarang perkembangan. Malangnya tiada petunjuk baharu.
“Tak banyak yang pihak polis boleh lakukan setakat ini disebabkan terhadnya maklumat yang mereka ada mengenai keberadaan Zalina.
“Mengenai keluarganya pula, saya enggan mengganggu mereka kerana saya faham mereka juga berada dalam fasa sukar dan terkesan kerana kehilangan Zalina,” kongsinya.
Sementara itu, bekas personaliti televisyen itu tetap mendoakan dan berharap sahabat baiknya itu segera ditemukan dengan selamat.
“Ada yang bertanya kepada saya, adakah Zalina masih hidup. Sejujurnya saya tak tahu dan tak mahu membuat sebarang tanggapan.
“Saya berdoa agar Tuhan tunjukkan di mana dia berada, beri saya petunjuk agar saya dapat mencarinya.
“Sebagai sahabat, saya juga berdoa agar dia sekarang berada bersama orang-orang yang menyayanginya,” katanya lagi. – UTUSAN










