JS-SEZ wujudkan 100,000 peluang pekerjaan baharu - Onn Hafiz - Utusan Malaysia

JS-SEZ wujudkan 100,000 peluang pekerjaan baharu – Onn Hafiz

ONN HAFIZ Ghazi diberi penerangan oleh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara, Abbas Aminuddin Helmey tentang persembahan multimedia yang dihasilkan mereka sempena Persidangan Pemimpin Pelajar Antarabangsa Johor (JISLC) 2024 di KSL Hotel & Resort, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 100,000 peluang pekerjaan baharu akan terhasil dalam tempoh beberapa tahun akan datang, khususnya menerusi pelbagai inisiatif galakan ekonomi yang sedang dilaksanakan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, antara inisiatif yang akan menyumbang secara langsung terhadap perkara itu adalah kewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Apa yang lebih utama, pekerjaan yang diwujudkan itu merupakan pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi yang akan membawa pulangan besar serta perkembangan karier positif buat mereka yang terlibat.

“Sehubungan itu, saya berharap agar generasi muda negeri ini belajar ilmu dan kemahiran diperlukan untuk menerima manfaat secara langsung daripada pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan ketika ini.

“Generasi belia, serta murid dan pelajar sekolah ketika ini adalah masa depan negeri Johor,” katanya semasa merasmikan Persidangan Pemimpin Pelajar Antarabangsa Johor (JISLC) 2024 di KSL Hotel & Resort, di sini hari ini

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar dan Pengarah Pendidikan negeri, Mohd. Hanafi Samad.

Justeru, Onn Hafiz menyeru rakyat negeri ini yang terdiri daripada pelbagai latar belakang untuk bersama-sama menyokong usaha pihaknya dalam menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.

“Dalam tempoh dua tahun lalu, sebanyak 55 strategi dan 209 inisiatif telah dilaksanakan bagi mencapai matlamat tersebut. Hasilnya, Johor berjaya merekodkan jumlah pelaburan sebanyak RM113.7 bilion dan mewujudkan 35,000 peluang pekerjaan,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau meminta rakyat negeri ini menjadikan kejayaan dilakar skuad bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai pemangkin untuk turut melakar kejayaan dalam bidang pilihan masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×