MEMETIK ayat Presiden Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), Tan Sri Abdul Halim Ali, terdapat keperluan untuk mengkaji semula pakej imbuhan dan emolumen bagi anggota-anggota pentadbiran dan perkhidmatan awam supaya dapat dipastikan ia setara dengan pekerjaan, kelayakan serta prestasi yang berkaitan.
Pun begitu, bagaimana mahu menangani isu kekurangan peluang pekerjaan jika ia diambil secara mutlak oleh PTD di setiap kementerian? Bijaknya golongan ini adalah dengan menukar pos hakiki perjawatan kepada pos terbuka yang mana mereka akan menempatkan golongan mereka di pos tersebut dan terus menutup pos secara asalnya adalah hakiki bagi sesebuah kementerian itu kepada pos tetap PTD.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai contoh mempunyai dua cabang di bawahnya iaitu Jabatan Pendidikan Tinggi dan Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti. Di KPT, boleh dikira dengan jari perjawatan hakiki bahagian tertinggi bagi golongan pendidik ini. Hal ini adalah kerana bahagian tertinggi dipenuhi oleh golongan yang tidak layak untuk berada di perjawatan tersebut. Tidakkah anda merasa berdosa dengan mengambil hak orang lain?
Mereka ditugaskan dengan alasan merancang dasar namum apakah pegawai hakiki di kementerian tidak tahu merancang dasar kementerian mereka sendiri?
Setiap kementerian mempunyai pakar masing-masing. KPT dan Kementerian Pendidikan mempunyai pakar yang berpengalaman dan berpendidikan dalam bidang berkaitan, Kementerian Kewangan mempunyai pakar-pakar ekonomi serta mempunyai pengalaman di lapangan dan begitu juga kementerian lain.
Rata-rata jawatan tertinggi diboloti oleh golongan PTD. Pegawai Khas Menteri juga dari golongan mereka. Tidak layakkah pegawai bergred hakiki ini untuk berada di sisi menteri dalam meneraju pendidikan negara? Siapakah pencacai yang menjalankan tugas menggembleng tenaga menaikkan martabat kementerian jikalau bukan pegawai-pegawai bergred hakiki ini?
Golongan PTD ini megah mendabik dada menyatakan bahawa mereka manusia yang bijak pandai dalam mengurus dan mentadbir kementerian. Jika kenyataan tersebut benar, sudah tentu kerajaan Malaysia gah di mata dunia.
Mengapa perlu orang luar untuk menakluki dan menguruskan kementerian sendiri? Pulangkan semula perjawatan hakiki kami yang diambil secara mutlak oleh PTD. Segala idea dan wawasan pendidikan adalah sumbangan para ilmuan di lapangan bukannya di meja mesyuarat semata-mata.
Bertindak adillah demi kelangsungan anak bangsa dan para pendidik yang berwibawa untuk membawa pendidikan Malaysia ke mata dunia.-UTUSAN
PEGAWAI KERAJAAN KECEWA
Putrajaya










