Terengganu dititah perkasa kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan - Utusan Malaysia

Terengganu dititah perkasa kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan

SULTAN Mizan Zainal Abidin bersalam dengan barisan pimpinan negeri Terengganu selepas merasmikan istiadat pembukaan penggal kedua DUN Terengganu Ke-15 di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan kerajaan negeri memperkasakan jalinan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi impak positif untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Titah baginda, kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan mesti merangkumi perancangan cadangan projek-projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) yang akan berakhir pada tahun 2025.

“Seterusnya, kesinambungan perancangan hendaklah diteruskan bagi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) yang akan bermula pada tahun 2026.

“Perancangan dan tumpuan yang teliti bagi perkara ini pastinya memberikan impak secara terus terhadap kesejahteraan rakyat Beta,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Turut berangkat Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan dan Tengku Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin.

Seterusnya, baginda menitahkan kerajaan negeri agar menentukan kaedah terbaik perlombongan sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Terengganu.

“Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mendapati bahawa Malaysia mempunyai kira-kira 15.2 juta tan NR-REE dan Terengganu memiliki deposit paling banyak, iaitu sekitar 7,187,500 tan.

“Dengan sumber mineral baharu ini, kerajaan Beta perlu menentukan kaedah terbaik perlombongan NR-REE dengan memastikan rantaian nilai termasuklah industri pertengahan (mid-stream) dan hiliran (down-stream) diwujudkan di Terengganu dan seterusnya menjadi hub pengeluar serta pemprosesan utama negara,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda menitahkan kerajaan negeri membuat perancangan serta pengurusan kewangan bersistematik secara kondusif sesuai dengan matlamat untuk mencapai nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) di antara 3.5 hingga 4.1 peratus.

Baginda bertitah, bagi mencapai sasaran itu, kerajaan negeri memerlukan ‘reverse trend’ bagi merancang pengurusan kewangan secara efektif untuk menghadapi cabaran ekonomi kini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×