PETALING JAYA: Perkara pertama yang ditanya pengawal peribadi, Mohd Nur Hadith Zaini yang ditembak di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah sedar daripada ditidurkan adalah mengenai keluarganya.
Isterinya, Siti Noraida Hassan, 38, ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, suaminya yang mesra disapa ramai dengan panggilan ‘Along,’ sudah sedarkan diri semalam dan masih menggunakan alat bantuan pernafasan.
Katanya, perkara pertama selepas dia sedar adalah bertanyakan keluarga kerana amat merindui mereka.
“Suami saya ketika ini perlu menjalani dialisis sementara waktu.
“Dia masih di ICU (Unit Rawatan Rapi) dan belum boleh bercakap sepenuhnya kerana masih pakai alat pernafasan,”katanya di sini.
Dalam kejadian 14 April lalu, mangsa, cedera dalam kejadian tembakan tersebut.
Dua das tembakan dilepaskan suspek ke arah isterinya telah mengenai bahagian perut mangsa.
Suspek yang melarikan diri selepas kejadian itu kemudian ditahan di Kota Bharu, Kelantan, 15 April lalu oleh polis.
Sementara itu, Siti Noraida berkata, tiga anaknya yang berusia antara tiga hingga 13 tahun sentiasa bertanyakan keadaan bapa mereka dan mula merinduinya.
Justeru, dia amat mengharapkan suaminya segera sembuh dan dapat berjumpa ketiga-tiga anak mereka.










