PRU16 2 tahun 6 bulan dari sekarang, pastikan Anwar kekal PM

PRU16 dua tahun enam bulan dari sekarang, pastikan Anwar kekal PM

PRU16
RAFIZI Ramli berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: PKR membuat persediaan berdepan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) bermula hari ini yang akan didahului dengan siri pilihan raya kecil (PRK) dan negeri (PRN) pada tahun hadapan.

Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli berkata, dijangka keseluruhan jentera parti mempunyai masa sehingga dua setengah tahun untuk melakukan persediaan tersebut bagi memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, menerusi Konvensyen 25 Tahun PKR hari ini, kepemimpinan dan akar umbi diarah untuk mula turun ke negeri dan cabang di seluruh negara untuk mengumpul kekuatan parti.

“Bergantung kepada Perdana Menteri, ke arah PRU16, paling lama adalah dua setengah tahun bermula sekarang. PRU akan bermula dengan siri PRK dan PRN seawal 2025,” katanya ketika berucap pada konvensyen tersebut, hari ini.

Malah, beliau yang juga merupakan Menteri Ekonomi mengingatkan, gerak kerja yang perlu dilakukan dalam mengukuhkan parti perlu selari dengan perubahan semasa bagi memastikan PKR kekal relevan untuk menjadi kerajaan.

Menurutnya, kepemimpinan dan akar umbi perlu mempelajari daripada parti-parti politik serta syarikat gergasi dunia yang kecundang apabila tidak mengendahkan perubahan dilalui masyarakat.

“Ambil contoh syarikat pengeluar filem seperti Kodak yang merupakan syarikat dominan dunia untuk tempoh 100 tahun dalam ambil gambar (kamera). Mereka bukan tidak tahu ancaman terhadap filem tetapi mereka leka dan menganggapnya terlalu kecil, takkan tahan.

“Ketika masyarakat berubah dalam tempoh 20 tahun (lalu), Kodak daripada sebuah syarikat yang besar, terus bankrap, hilang dari dunia.

“Begitu dengan parti-parti politik yang dahulu didendang, dipuji, dilambung apabila berada di puncak, tetapi mereka tidak melakukan perubahan untuk memastikan kekal relevan, akhirnya kecundang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Rafizi menegaskan, PKR akan kekal sebagai parti reformasi dan berpegang kepada kekuatan iaitu sumabngan peribadi serta taat setia anggota dari bawah sampai kepemimpinan atas talian persahabatan.

“Kita boleh lihat sejak kita mula dapat kuasa negeri pada 2008, cabaran kita sudah berubah kerana generasi pertama itu benar-benar diikat dengan ikatan kekeluargaan, bila menang sudah ada dimensi lain iaitu jawatan.

“Sekarang 2022 sehingga sekarang bila kita berkuasa, sudah tentu lebih rumit, kerana bukan sahaja kuasa dan jawatan kecil, kita juga ada dimensi kuasa jawatan dan habuan di peringkat Persekutuan.

“Sebab itu umur 25 tahun (PKR) adalah umur yang baik untuk semak semula, kita cari ikatan baik yang mengikat parti ini untuk 25 tahun akan datang kerana kita sudah lihat parti yang sudah dapat kuasa tidak mencari ikatan baharu (kecundang),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×