IPOH: Pemutar kanan, Fauzan Malik memastikan Pahang menang dengan 44 larian ke atas Perak dalam pertemuan kriket antara negeri bagi merebut Perisai Raja-Raja di STAR Oval di sini, semalam.
Bekas pemain prestasi tinggi Persatuan Kriket Melayu Malaysia yang kini mengajar di Klang, Selangor itu meranapkan lima wiket lawan dengan menampilkan putaran mengelirukan di lapangan tengah.
”Keputusan hari ini amatlah menarik bagi menghidupkan peluang ke pusingan kedua nanti. Apapun Pahang bertekad memenangi semua baki perlawanan,” kata pengurus Pahang, Rasul Iqbal Ghazali.
Perak masih mengintai kemenangan pertama setelah mengharungi dua perlawanan selepas tewas dalam perlawanan pertama dengan 72 larian kepada Selangor.
Setelah memenangi undian, Perak mempelawa Pahang memukul sehingga 180 larian dalam 39.4 over.
Bekas pemain kebangsaan yang menggalas tugas sebagai kapten Perak, Che Wan Razlan Zalati turut membaling dengan angka 2-28.
Dalam pertembungan itu Perak berhadapan kesukaran apabila enam pemukulnya dikeluarkan pada kedudukan 51 dalam hanya 11 over.
Bagaimanapun, ketukan pemukul ketujuhnya Amir Irfan Zamzuri (42 larian tanpa tewas) berjaya mengheret kedudukan sehingga 136 larian.-UTUSAN









