Menanti yang segar, dinamik pemikiran, pembawaannya - Utusan Malaysia

Menanti yang segar, dinamik pemikiran, pembawaannya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA bakal menerima perdana menteri baharunya, Lawrence Wong Shyun Tsai pada 15 Mei ini yang berusia 51 tahun.

Indonesia pula pada 20 Oktober nanti akan menguji naib presidennya yang muda belia, Gibran Rakabuming Raka yang hanya berumur 36 tahun. Di Thailand, tetapi belum kesampaian Pita Limjaroenrat, 43, yang mengetuai Parti Move Forward (MFP) walaupun tidak menjadi perdana menteri tetapi berjaya menang majoriti pilihan raya negara itu. Dia menceburi politik sejak usia lewat 20-an lagi.

Mereka ini yang sebenarnya mempunyai latar belakang akademik, pengalaman serta cara berhujah meyakinkan, membawa idea baharu yang tidak lapuk. Lebih penting lagi ada kesungguhan untuk melaksanakan janji. Memang era ini sudah ke arah trend itu.

Yang menarik untuk ditonton di Malaysia adakah berani atau tidak kita terutama pengundi menyokong bakat-bakat muda yang memiliki daya kepimpinan yang segar dan dinamik? Di pihak kepimpinan politik pula meletakkan muka baharu menduduki jawatan kanan pentadbiran kerajaan. Walaupun tiada track-record untuk dinilai, ia boleh mencetuskan kebangkitan kesedaran politik era sekarang.

Mutakhir ini setelah rakyat terpaksa melalui liku-liku kemelut politik tidak berkesudahan, dengan tiga kerajaan dalam lima tahun kebelakangan itulah digantung harapan, sebenarnya kita rakyat sudah ada bibit-bibit hilang keyakinan. Kerajaan baharu pula yang akan menghampiri dua tahun pentadbiran sedang diuji dan dinilai kewibawaannya.

RELEVAN
Dengan simptom sebegini, rakyat mempersoalkan relevan lagikah sebilangan pemimpin politik sedia ada ini? Ada bertanyakan, macam mana Malaysia mahu bergerak ke hadapan sekiranya ahli-ahli politik yang ada masih berlegar-legar dalam arena mereka hari ini? Bolehkah generasi pemimpin lama ini `mengadaptasinya’?

Jika pendekatan-pendekatan untuk golongan muda lingkungan 18 hingga awal 40-an hari ini dipraktikkan, adakah mereka masih mahu ikut acuan pemimpin-pemimpin zaman 80-an?

Kita akui proses pertumbuhan semula (regeneration) berlaku agak perlahan dalam parti-parti politik hari ini yang dipenuhi golongan tua.

Malah, ada anak muda hari ini sukar mendaki hierarki dalam parti politik kerana ‘elit-elit lama’ yang sangat sukar melepaskan jawatan mereka.

Jika kita menoleh ke utara (Thailand), (timur) Filipina, selatan (Singapura) malah Indonesia sekali pun, trend memberi peluang kepada orang muda memimpin sudah semakin melebar.

Lihat sahaja perkembangan di Eropah, di sana penglibatan anak muda dalam arus perdana politik makin rancak.

Sejak tahun 2010 lagi di United Kingdom umpamanya, tiga orang yang berusia awal 40-an telah berjaya dipilih sebagai perdana menteri, timbalan perdana menteri dan ketua pembangkang. Sweden mempunyai beberapa menteri yang dilantik pada usia 20-an.

Di Perancis, Emmanuel Macron menjadi presiden termuda Perancis di usia 39 tahun, selain Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau (43 tahun). Kisah-kisah lepas menyaksikan Jean-Claude Duvalier menjadi Presiden Haiti pada usia 19 tahun; Muammar Al Gaddafi, pemimpin Revolusi Libya (27), Kim Jong Un, pemimpin tertinggi Korea Utara (28) serta Milo Dukanovic, Perdana Menteri Montenegro (29).

Sekarang, kita sudah tidak dapat pisahkan apa-apa dari media sosial. Ia termasuklah juga politik. Kita berkata `dunia sudah berubah’. Namun sebenarnya kita sebahagian besar wakil rakyat YB-YB inilah yang belum berubah. Jika ada faktor-faktor yang membuat kita berubah, ia kerana lingkungan kita dan gajet gajet yang dijadikan alat mengubah diri dan karakter.

SEGAR PEMIKIRAN

Yang kita orang Melayu cukup bimbang sekiranya orang politik kita yang sebahagian besar masih dibarisi muka-muka lama tidak mahu berubah. Mereka tidak berani menyuarakan hal tertentu demi kebenaran, perjuangan dan keintelektualan mereka. Menjadi seorang intelek bererti seseorang itu berani mengemukakan yang benar. Berani kilas suara yang salah berpandukan ilmu, nilai sejagat dan Islam.

Misalnya sengketa sesama seislam, apa lagi dalam komponen sepenting politik hanya mengikis kuasa kita berdikit-dikit. Lama kelamaan kita tidak punyai apa.

Jadi, kita harus realistik. Perlu perubahan, beri peluang kepada orang baharu yang segar pemikiran dan pembawaannya. Apa lagi bila diamati, nasib rakyat amat bergantung kepada ahli politik. Ahli politiklah yang menjadi menteri besar berurusan dengan istana. Jika merosot wibawa dan akhlak ahli politik, musibahnya ditanggung rakyat. Di tangan ahli politiklah letaknya tunjang kemajuan pembangunan. Jika baik kelakunya, nasib baiklah kita. Pincang ahli politik, ranaplah segala.

Perlu diterangkum rapi dalam diri ahli politik itu sahsiah, peningkatan kecerdasan emosi (EQ) dan rohani (SQ) nya yang barangkali sudah terabai lama. Ini akan mengasuhnya sebagai insan seimbang. Bukannya sekadar modal insan yang berkait gagasan neoliberal barat (bersendi desakan pasaran). Jika tidak, sukar dipupuk kehalusan jiwa.

Pencapaian umur 60 tahun seseorang wakil rakyat bak kata Inggeris-Amerika is not big deal. Jika badan sihat dan minda masih aktif, tiada apa yang boleh dianggap pengaral – walaupun 60 tahun itu memang usia tua.

Namun, untuk Malaysia mengharungi gelora ekonomi, revolusi industri 5.0 dan kecergasan buatan (AI), kita amat perlukan saf kepimpinan yang segar dan dinamik. Iaitu insan yang apabila masuk politik, menang pilihan raya dan diberi jawatan tinggi dalam kerajaan, memikulnya suatu tanggungjawab dan amanah. Tidak lagi untuk mengaut, mengumpul kekayaan dan memikirkan habuan semata-mata. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×