Bercuti ke mana? Jangan lupa SOP - Utusan Malaysia

Bercuti ke mana? Jangan lupa SOP

Jangan pinggirkan SOP dan keselamatan keluarga sewaktu bercuti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia pada penghujung tahun lalu, mengubah segalanya tentang persepsi gaya hidup sebelum ini. Ini termasuklah dalam industri pelancongan dunia termasuklah Malaysia. Sehingga kini, angka mereka yang positif menghampiri angka 122 juta orang di seluruh dunia.

Rindu untuk bercuti? Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Intrepid Travel, James Thornton kepada portal Times, jika tahun 2020 menjadi tahun menghabiskan banyak waktu di rumah, maka tahun 2021 akan menjadi tahun yang dipenuhi dengan aktiviti luar rumah seperti berbasikal, rentas desa dan aktiviti menenangkan minda.

Mana tidaknya, setelah sekian lama terperuk di dalam rumah dek kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Walaupun kini status berubah kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ternyata semuanya berubah bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP).

Sudah pasti ramai merindui suasana di luar seperti menikmati keindahan alam semulajadi seperti di pantai dan juga di tempat peranginan.

Aliran percutian kini nampaknya lebih terarah kepada tempat yang tidak ramai orang.

Dalam kerancakan memikirkan perancangan bercuti, berikut antara perkara yang boleh anda jangka sebelum memutuskan untuk bercuti!

#1 Selidik lokasi ingin kunjungi
Memandangkan sempadan negara masih belum dibuka dan juga rentas negeri tidak dibenarkan, maka percutian dalam daerah mendapat permintaan mendadak. Banyak hotel, rumah tumpangan seperti Airbnb sentiasa penuh terutamanya pada hujung minggu. Anda harus meletakkan keselamatan dan kesihatan sebagai keutamaan selain daripada faktor kebersihan yang perlu diambil kira. Lihat juga jika tempat penginapan dikelilingi jumlah penghuni yang sedikit kerana ini bermaksud akan mengurangkan risiko terdedah dengan kuman.

Rancang lokasi boleh elak kesesakkan.

#2 Eko-pelancongan jadi tumpuan
Melancong dalam kumpulan lebih kecil digalakkan, maka lokasi hutan, taman negara, gunung menjadi pilihan. Aktiviti mendekatkan diri dengan alam semula jadi ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi berupaya meredakan tekanan di rumah dan tempat kerja.

#3 Kelengkapan kesihatan
Meskipun kebanyakan tempat penginapan menyediakan kelengkapan kecemasan namun tiada salahnya jika anda membawa sendiri dari rumah. Lebih-lebih lagi jika memilih untuk berkhemah atau penginapan eko-pelancongan di hutan. Kelengkapan kecemasan seperti topeng muka, pencuci tangan, tisu basah, sarung tangan, ubat dan sebagainya mungkin mengambil ruang di dalam beg tetapi percayalah, ia sangat berguna jika sesuatu terjadi.

Bawa peralatan perlu dan penting sahaja.

#4 Elak kerap berhenti
Jika destinasi ingin di tujui jauh dari lokasi rumah, elakkan berhenti di kawasan ramai orang jika tiada sebarang keperluan. Bawa makanan dan minuman dari rumah untuk dimakan di dalam kereta malah ia lebih selamat bukan? Jika terpaksa menggunakan kemudahan awam seperti tandas, sentiasalah berhati-hati dan mencuci tangan serta gunakan cecair nyah kuman.

#5 Patuhi SOP
Memandangkan kita sekarang ini berada dalam fasa PKPB yang mana semuanya perlu berlandaskan gaya norma baharu seperti memakai pelitup muka, ambil suhu, guna pembasmi kuman dan mendaftar diri dengan aplikasi MySejahtera sebelum memasuki sesebuah premis. Namun jangan pula lupa untuk mendaf­tarkan sekali nama anak-anak atau ibu bapa sekiranya pergi bercuti dengan keluarga.

#6 Simpan inspirasi bergambar
Antara perkara penting apabila melancong, tidak kisahlah sama ada dengan keluarga atau kawan-kawan, adalah aktiviti bergambar! Malaysia mempunyai pelbagai tarikan unik dan pemandangan yang memukau.
Jadi, jika memerlukan inspirasi dari segi bagaimana untuk teknik mengambil gambar, edit dan warna, anda boleh mengikuti instagram instafamous kaki travel seperti En.Pamey, Dinnyaiman, Mowgli Kovin Siva dan juga HeartPatrick.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×