Kisah wanita Inuit raih anugerah fotografi

Kisah wanita Inuit raih anugerah fotografi

GAMBAR arkib Jytte Lyberth pada usia 14 tahun semasa dimasukkan IUD. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROJEK angkat penderitaan wanita Inuit dapat pengiktirafan Anugerah Fotografi Dunia Sony. Juliette Pavy dari Perancis dinobat sebagai pemenang Jurugambar Terbaik Anugerah Fotografi Dunia Sony 2024 dalam majlis gala berprestij yang diadakan di London Khamis lalu.

Pavy berjaya merangkul anugerah tersebut menerusi siri koleksi lapan imej bertajuk Spiralkampagnen: Kontrasepsi Paksa dan Pensterilan Tidak Diinginkan Wanita Greenland.

Projek dokumentari Pavy meneroka kesan berkekalan amalan kawalan kelahiran yang dijalankan ke atas golongan wanita Inuit di Greenland oleh doktor Denmark pada 1960-an dan 1970-an.

Siri ini mengkaji kesan ‘spiralkampagnen’ atau kempen gegelung di mana sebanyak 4,500 wanita dan kanak-kanak perempuan Inuit seawal usia 12 tahun dipasang dengan alat dalam rahim (IUD) tanpa persetujuan mereka.

Gambar-gambar itu terdiri daripada pemandangan bandar Nuuk dan ruang klinikalnya, kepada imejan sinar-X dan gambar arkib wanita-wanita yang terlibat.

Antaranya adalah rakaman wajah sayu Ahli Psikologi di Nuuk, Naja Lyberth, individu pertama yang memberi keterangan tentang pensterilan paksa ke atas dirinya.

Beliau menubuhkan kumpulan Facebook untuk membolehkan wanita berkongsi pengalaman mereka dan membantu satu sama lain untuk mengatasi trauma akibat kejadian itu.

Seorang lagi mangsa projek tersebut, Jytte Lyberth yang hanya berumur 14 tahun ketika dipasangkan IUD turut mengakui gagal mendapatkan zuriat sehingga kini.

Kempen itu mula didedahkan oleh podcast Denmark pada musim bunga 2022, dan dokumen kini membuktikan bahawa pihak berkuasa melaksanakan dasar tersebut untuk mengurangkan pertumbuhan penduduk Inuit.

Siasatan rasmi kini sudah dibuka, yang dijangka berakhir pada penghujung tahun ini.

Ketua Juri pertandingan itu, Monica Allende, memuji gambaran empati Pavy terhadap subjeknya, menangkap gambar mereka dengan cara yang bermaruah dan sangat intim, sekali gus menyerlahkan bakatnya yang luar biasa.

“Gambar-gambar yang menang adalah tingkap ke dunia, memberikan kita gambaran yang luar biasa tentang planet kita dan penduduknya.

“Gambar-gambar yang menawan akan membawa anda dalam perjalanan penemuan, mendedahkan kisah-kisah menarik di luar lensa dan menonjolkan perspektif unik jurugambar dari seluruh dunia,” katanya.

JULIETTE Pavy dinobat Jurugambar Terbaik Anugerah Fotografi Dunia Sony 2024. – AGENSI

Hasil kerja Pavy berjaya meraih anugerah utama dalam kategori Projek Dokumentari dan beliau menerima hadiah wang tunai AS$25,000 (RM119,571).

Selain wang tunai lumayan, Pavy turut membawa pulang rangkaian peralatan pengimejan digital Sony dan diberi peluang mempersembahkan karya solonya dalam pameran Anugerah Fotografi Dunia Sony tahun depan.

Beliau mengakui sangat gembira kerana pencalonan untuk anugerah tersebut membolehkan pengalaman hitam yang dilalui wanita Inuit dapat dikongsi dengan lebih meluas.

“Wanita-wanita ini berkongsi trauma dan kisah mereka dengan saya dan sebagai seorang wartawan foto, saya rasa menjadi kewajipan saya untuk berkongsi kisah mereka kepada dunia.

“Saya berharap kemenangan ini dapat memberi suara kepada mereka yang diam selama hampir setengah abad.

“Dengan mendokumentasikan cerita ini, saya juga berharap dapat meningkatkan kesedaran tentang keganasan terhadap wanita Inuit serta kesan sosial dan psikologi yang berlaku akibat pensterilan paksa,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×