PETALING JAYA: Datuk Farhash Wafa Salvador tidak lagi menjadi pemegang saham utama dalam HeiTech Padu Bhd.
Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, penghentian jumlah kepentingan beliau itu adalah disebabkan oleh perubahan dalam pegangan saham dalam Mfivesouthsea Sdn. Bhd., syarikat induk Rosetta Partners Sdn. Bhd. menurut Seksyen 8(4) Akta Syarikat 2016.
Rosetta Partners menjadi pemegang saham besar dalam HeiTech Padu selepas ia membeli 15.9 peratus kepentingan dalam syarikat itu pada 12 Mac, 2024 melalui urus niaga perniagaan langsung.
HeiTech Padu menjadi tumpuan baru-baru ini berikutan penganugerahan kontrak RM190 juta daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk penyelenggaraan dan sokongan teknikal Infrastruktur ICT termasuk MySikap di pusat data dan pejabat JPJ.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menerusi satu kenyataan menjelaskan proses pemberian kontrak itu berkata tender terbuka telah dijalankan bagi kontrak tersebut dan HeiTech Padu dipilih kerana bidaannya pada harga yang berpatutan.
Beliau juga menekankan kontrak itu bernilai tinggi kerana ia untuk tempoh tiga tahun.
Pada Mac lalu, Farhash yang juga bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul pemegang saham besar baharu HeiTech Padu menerusi pembelian 15.9 peratus atau 16.1 juta saham.
Farhash memiliki kepentingan dalam syarikat itu melalui syarikat persendirian, Rosetta Partners, yang membeli 9.69 juta saham pada 12 Mac dan 6.16 juta saham sehari sebelumnya. – UTUSAN










