PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu menjelaskan pencapaian agenda reformasi yang diperjuangkan parti tersebut sebelum menjadi kerajaan dan ketika menjadi kerajaan.
Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, ramai yang melihat agenda reformasi digerakkan PKR belum mencapai sasaran walaupun gerak kerja sudah dilakukan.
“Untuk mengatakan mereka berada pada landasan yang betul, belum boleh dilihat. Mereka melakukan apa yang seperti dikatakan suatu ketika dahulu tetapi agenda reformasi itu masih lagi jauh untuk mencapai sasaran.
“Jika ingin dikatakan tersasar pun tidak kerana ia masih dalam ‘progres’, tetapi secara praktikal ia tidak meyakinkan rakyat. Rakyat ingin melihat di mana PKR sebelum menjadi kerajaan yang lantang bersuara yang mana ketika ini tidak kelihatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan Konvensyen Khas 25 Tahun PKR yang dijadualkan akan berlangsung pada Ahad ini dengan menumpukan kepada aspek ekonomi.
Dalam pada itu, Salawati berkata, sektor ekonomi perlu diberikan perhatian oleh parti berkenaan kerana rakyat ketika ini terbeban dengan kos sara hidup sehingga mencetuskan kemarahan.
Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, masalah utama agenda reformasi belum dapat direalisasikan kerana ketika ini ia terletak kepada keseluruhan Kerajaan Perpaduan.
“Konvensyen kali ini perlu menerangkan reformasi itu sedang berjalan tetapi sukar dilakukan kerana perlu melibatkan 18 parti lain dalam kerajaan.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ibrahim telah memulakan reformasi dengan memberi perhatian mengurangkan masalah rasuah dan tatakelola kerajaan. Sekiranya Kerajaan Perpaduan tidak melibatkan 18 parti, berkemungkinan reformasi boleh dilakukan dengan lebih pantas,” katanya. – UTUSAN











