HULU TERENGGANU: Lokasi pelancongan, Rimba Razia yang berkonsepkan ‘petting zoo’ di Kampung Dusun di sini terpaksa menanggung kenaikan kos pengurusan disebabkan fenomena cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini.
Ketua Eksekutif Operasinya, Mohd. Azraf Zakaria berkata, pengurusan terpaksa menambah peruntukan 30 peratus daripads kos pengurusan bulanan untuk memastikan semua haiwan dalam zoo tersebut berada dalam keadaan yang selesa.
Menurutnya, antara tindakan diambil menambah peralatan baharu seperti rangkaian penyembur air automatik dan beberapa kipas industri yang sesuai untuk kegunaan di zoo.
“Haiwan-haiwan yang ada juga perlu kerap dimandikan agar tidak terlalu panas kerana berisiko untuk kesihatannya dan kita sentiasa mendengar panduan daripada doktor veterinar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Sejak dibuka pada Julai lalu, terdapat 415 ekor haiwan daripada 110 jenis spesies yang kebanyakannya dibeli dari luar negara seperti di Eropah, Jepun dan Thailand untuk dijadikan lokasi pelancongan baharu di Hulu Terengganu.
Beliau berkata, spesies haiwan yang paling terjejas ialah labi dan Angora Goat dari Turkiye kerana memerlukan penjagaan khas yang perlu diselaraskan dengan suhu yang sesuai.
Katanya, rutin penjagaan dan pengurusan semakin bertambah ketika ini kerana mereka tidak mahu haiwan-haiwan tersebut terjejas.










