Permohonan Badan Peguam  mengenai DNAA Zahid diputus  27 Jun

Permohonan Badan Peguam  mengenai DNAA Zahid diputus  27 Jun

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan Badan Peguam untuk merujuk tiga persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA)  Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan diputuskan pada 27 Jun ini.

Pada tarikh sama, Hakim Datuk Amarjeet Singh akan memutuskan sama ada kebenaran diberikan kepada Badan Peguam untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar  tindakan Peguam Negara yang memohon agar Presiden UMNO  itu diberikan DNAA daripada 47 pertuduhan.

Pada 4 September 2023, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Ra­yuan) melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada lapan pertuduhan rasuah, 12 dakwaan pecah amanah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi selepas pihak pendakwaan memaklumkan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid.

Memuatkan artikel berkaitan…

Permohonan itu dibuat selepas Ahmad Zahid diperintahkan untuk membela diri atas kesemua pertuduhan tersebut selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie dan saksi-saksi pembelaan sedang memberi keterangan.

Susulan itu, pada 2 Disember 2023, Badan Peguam memfailkan permohonan semakan kehakiman dan memohon perintah supaya keputusan Peguam Negara yang memohon supaya Ahmad Zahid dilepaskan tanpa dibebaskan, dibatalkan.

Terdahulu, peguam Datuk S. Ambiga yang mewakili Badan Peguam menghujahkan bahawa permohonan semakan yang difailkan oleh organisasi terbabit bukanlah untuk `menyibuk’ tetapi untuk membetulkan keadaan bagi memastikan pelaksanaan undang-undang demi keadilan.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan pula menghujahkan Badan Peguam gagal membuktikan bahawa tindakan Peguam Negara telah dicemari dengan ketidaksahan dan gagal mengemukakan sebarang bukti bahawa tindakan tersebut merupakan satu kesalahan.

Sementara itu, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid berkata, permohonan Badan Peguam telah menjadi akademik kerana permohonan DNAA itu telah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi.

Selain itu, peguam terbabit menghujahkan bahawa organisasi itu gagal membuktikan bahawa mereka mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk mengemukakan permohonan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN