SEREMBAN: Kegigihan mengulang kaji pelajaran sambil dibantu ibu bapa membuahkan hasil kepada tiga orang murid dari Sekolah Rendah Islam (SRI) Seremban dan SRI Seremban, Nilai di sini apabila masing-masing berjaya memperoleh keputusan 8A dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2023.
Tiga murid berkenaan, Nik Ufaira Nik Muhammad Hafiz, Harith Amrullah Almuhaymin dan Muhammad Saif Zakwan Shahrul Zaim, 12, bagaimanapun mengakui tidak menyangka mampu mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan itu.
Berkongsi kejayaannya, Nik Ufaira berkata, sokongan daripada ibunya dalam membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan itu banyak membantunya bagi meraih keputusan terbaik.
“Terima kasih juga kepada ustaz serta ustazah di sekolah kerana tidak jemu-jemu membimbing saya. Ada ketikanya saya hilang fokus ketika belajar dan tanpa teguran daripada mereka dalam kelas, tidak mungkin saya mampu mencapai kecemerlangan pada hari ini,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis meraikan dan mengambil keputusan UPKK 2023 di SRI Seremban hari ini yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan.
Bagi Harith Amrullah pula, memang menjadi hasratnya untuk membanggakan keluarga menerusi keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu.
“Alhamdulillah, berkat usaha tanpa lelah selama ini, saya berjaya capai keputusan yang baik. Selain belajar di sekolah, ibu bapa banyak membantu meluangkan masa belajar bersama-sama.
“Saya boleh katakan keputusan pada hari ini adalah hadiah buat ibu bapa, ustaz serta ustazah yang selama ini tidak putus asa mencurahkan ilmu kepada saya. Saya harap kejayaan seperti ini dapat dikekalkan ketika sekolah menengah nanti,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang doktor.
Muhammad Saif Zakwan pula berkata, mengulang kaji secara santai pada waktu malam turut membantu memudahkan proses pembelajarannya.
“Ibu bapa saya juga sentiasa mengingatkan supaya tidak meninggalkan solat. Saya tidak menyangka akan memperoleh keputusan cemerlang itu walaupun pada awalnya agak ragu-ragu terutamanya bagi mata pelajaran Bahasa Arab,” katanya.
Sementara itu, Dr. Zulkifli memberitahu, seramai 27 orang pelajar di Sekolah SRI Seremban dan 13 pelajar di Sekolah SRI Seremban Cawangan Nilai memperolehi 8A dalam peperiksaan UPKK hari ini.
“Sudah tentu ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak dalam persediaan terbaik bagi menghadapi peperiksaan,” katanya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, seramai 28,531 daripada 230,587 calon menduduki UPKK 2023 berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dengan memperoleh A dalam kesemua lapan mata pelajaran peperiksaan itu.
Mata pelajaran terbabit adalah Al-Quran, Ulum Syariah, Sirah, Adab, Jawi dan Khat, Lughatul Quran, Penghayatan Cara Hidup Islam serta Amali Solat.-UTUSAN.










