PRK Kuala Kubu Bharu: Kepimpinan tertinggi namakan calon

PRK Kuala Kubu Bharu: Kepimpinan tertinggi namakan calon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kepimpinan tertinggi akan menentukan calon yang akan mewakili parti-parti Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu yang diadakan pada 11 Mei ini.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, penetapan tersebut dibuat dalam mesyuarat yang diadakan bagi membincangkan persiapan menghadapi PRK Kuala Kubu Bharu.

Kata beliau, penyelarasan dan penyeragaman gerak kerja jentera PRK parti-parti Kerajaan Perpaduan akan dipengerusikan bersama oleh beliau dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim Chee Keong.

“Insya-Allah tanggungjawab yang diamanahkan untuk saya dan Steven Sim bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi PRK akan dilakukan secara bersama dengan rakan-rakan lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, keputusan tersebut diputuskan melalui Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia, yang diadakan di Seri Perdana, Putrajaya, semalam.

Dalam perkembangan lain, Dr. Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, pihak kerajaan bersepakat untuk terus mempertahankan orientasi serta pendekatan ‘politik kesederhanaan’ sebagai asas kesejahteraan dan keharmonian masyarakat berbilang agama serta kaum.

“Dengan pendekatan kesederhanaan bagi menjamin kestabilan, Kerajaan Perpaduan akan dapat memberikan tumpuan terhadap dasar-dasar yang boleh mensejahterakan rakyat terutamanya bagi menangani kos sara hidup, menjamin peluang-peluang pekerjaan yang berkualiti kepada rakyat dan memastikan kestabilan ekonomi negara,” katanya.

Tambahnya, kerajaan memandang serius tindakan setengah pihak yang memainkan sentimen rakyat sehingga meningkatkan suhu perkauman dan keagamaan hingga mampu mengancam keharmonian negara serta kerukunan masyarakat pelbagai kaum.

“Mesyuarat sepakat agar kerajaan bertindak tegas menurut lunas-lunas perundangan dan tidak berkompromi dengan sebarang tindakan melampau yang boleh menjejaskan kestabilan negara ini,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×