KUALA LUMPUR: Kes kemalangan jalan raya sepanjang Op Selamat 22 bermula 8 hingga 13 April lalu sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini berkurang berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pada tahun ini 8,862 kes direkod iaitu penurunan sebanyak 127 kes atau 1.41 peratus berbanding 8,989 kes pada tahun lepas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kes kemalangan maut pula mencatatkan 105 kes iaitu pengurangan sebanyak 12 kes atau 10 peratus berbanding 117 kes pada tahun lepas.
“Jumlah kematian mencatatkan 119 kes iaitu pengurangan sebanyak tujuh kes bersamaan enam peratus berbanding 126 kes pada tahun sebelumnya.
“Ini membuktikan pelaksanaan operasi berkenaan selama enam hari bermula 8 hingga 13 April lepas mencapai matlamatnya,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar.
Teks ucapan berkenaan dibaca dalam Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 22 sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.
Razarudin berkata, beliau percaya bahawa penurunan kes kemalangan adalah impak positif hasil daripada kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan jalan raya serta amalan pemanduan yang berhemah. – UTUSAN









