Akaun 3 KWSP, patut keluar atau tidak?

Akaun 3 KWSP, patut keluar atau tidak?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM penghujung bulan ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengumumkan lebih lanjut tentang penstrukturan semula akaun simpanan pencarum kumpulan wang tersebut.

Ini susulan persetujuan kerajaan terhadap cadangan penubuhan Akaun 3 iaitu tambahan kepada dua akaun sedia ada.

Akaun baharu itu dicadangkan selepas pandemik Covid-19 melanda negara pada 2020 yang menyaksikan ramai terjejas akibat penutupan syarikat terutama ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

KWSP dijangka mengumumkan tentang jumlah simpanan yang akan dimasukkan ke Akaun 3 dan syarat pengeluarannya. Ia bukan tugas mudah kerana kumpulan wang itu juga dipertanggungjawabkan untuk melihat soal simpanan hari persaraan pencarum.

Pembukaan Akaun 3 itu juga mendapat bantahan daripada sesetengah pihak yang bimbang langkah tersebut akan menganiaya pencarum apabila bersara.

Ini kerana kata mereka simpanan pencarum akan susut apabila wang yang ada boleh dikeluarkan sebelum usia sepatutnya. Malah pencarum juga telah mengeluarkannya beberapa kali sebelum ini ketika tempoh pandemik.

Mereka bimbang hari tua pencarum nanti tidak mempu­nyai dana mencukupi untuk meneruskan kehidupan. Pelbagai masalah sosial akan berlaku jika pesara tiada wang dan akhirnya kerajaan juga yang akan menanggung bebannya.

Sampai begitu sekali kebimbangan mereka terhadap kehidupan kumpulan pekerja yang bakal bersara. Rakyat Malaysia memang peka dengan masyarakat sekelilingnya.

Sebab itu jugalah timbulnya idea penubuhan Akaun 3 iaitu membantu pencarum yang sangat memerlukan dana bagi meneruskan kehidupan.

Bagi mereka yang terjejas akibat Covid-19 terutama dibuang kerja apabila syarikat tempat bekerja ditutup dan menghadapi masalah kesihatan kesan daripada virus itu, Akaun 3 sememang­nya dinanti-nantikan.

Sebahagian daripada mereka mungkin tidak ada sumber kewangan lain untuk berharap kecuali KWSP. Mahu tunggu umur 50 atau 55 tahun, mungkin lama bagi sesetengah orang.

Yang penting bagi mereka adalah kehidupan sukar ketika ini. Banyak yang perlu diurus dan diselesaikan sekarang. Mereka tidak mahu lagi meminjam kerana sedar ia akan menyukarkan keadaan.

Susah senang setiap orang tidak sama. Ada yang susah sekarang senang kemudian. Ada juga yang sebaliknya. Ada yang simpanan KWSP berjuta tetapi senang atau tenangkah kehidupan selepas bersara?

Sama ada anda mahu keluar atau tidak wang dalam Akaun 3, tepuk dada tanya selera.

Apapun ingatlah lima nasihat KWSP tentang persaraan dan apabila mahu keluarkan wang simpanan iaitu tentang tanggungjawab kewangan terhadap isteri dan anak-anak.

Keduanya soal yuran pendidikan anak-anak, bayaran pinjaman rumah dan hutang lain, membeli insurans baharu sekiranya sebelum ini bergantung pada insurans yang disediakan oleh syarikat atau sudah mencapai had umur polisi sedia ada.

Akhirnya tentang kenaikan harga barangan disebabkan inflasi. Cukupkah simpanan hari tua anda?

Faktor-faktor ini jelas KWSP, membuktikan bahawa peranca­ngan simpanan untuk persaraan adalah aspek yang sangat pen­ting.

Tidak kira berapa lama lagi tempoh sebelum bersara – sama ada 10, 20, atau 30 tahun, penting untuk mula berfikir tentang soal persaraan dan simpanan yang ada.

Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.