Berkayak dan memancing di Bagan Pinang - Utusan Malaysia

Berkayak dan memancing di Bagan Pinang

PANTAI Bagan Pinang, Port Dickson menjadi tumpuan para peminat aktiviti kayak memancing sejak setahun yang lalu.– UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Port Dickson tidak perlu diperkenalkan lagi, sebuah daerah di Negeri Sembilan yang menawarkan tarikan pantai peranginan sejak sekian lama.

Walaupun sudah dikenali ramai, namun usaha terus dilakukan pelbagai pihak bagi memastikan ia terus dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara.

Pantai Bagan Pinang merupakan satu daripada 11 pantai peranginan yang terdapat di Port Dickson.

Ia selalu menjadi pilihan pengunjung untuk berkelah terutama pada hujung minggu dan cuti-cuti umum.

Sejak tahun lalu, pantai tersebut mempunyai satu lagi daya tarikan terutama buat kaki pancing iaitu aktiviti berkayak sambil memancing.

Aktiviti tersebut cukup popular di luar negara, tetapi ia masih baharu di negara ini namun tetap mempunyai peminatnya dan sendiri dan pantai Bagan Pinang dikatakan ketika ini merupakan lokasi terbaik bagi aktiviti kayak pancing ini.

Mengulas lanjut, Pengarah Urusan PD Watersports Sdn. Bhd., Mazuan Mohd. Noor, 37, berkata, pihaknya memulakan operasi menyewakan kayak khas untuk memancing di pantai tersebut sejak tahun lalu iaitu seminggu sebelum negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan pandemik Covid-19.

Katanya, komuniti peminat aktiviti kayak pancing di negara ini telah mencecah hingga ribuan orang dan semuanya telah mengetahui bahawa Pantai Bagan Pinang merupakan lokasi untuk mereka boleh menyewa kayak pancing, boleh saya katakan di sinilah bermulanya.

“Saya difahamkan ada pengusaha yang akan memulakan operasi serupa di Terengganu malah ada juga yang telah beroperasi di Desaru, Johor.

“Namun Pantai Bagan Pinang selalu jadi pilihan didorong oleh keadaan angin dan ombaknya yang sesuai,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

MAZUAN Mohd. Noor bersama sebahagian kayak yang digunakan untuk memancing yang disewakannya kepada peminat aktiviti itu di Pantai Bagan Pinang, Port Dickson.

POPULARKAN LAGI PD

Jelasnya, selain minatnya dalam aktiviti memancing, tujuannya memulakan perniagaan tersebut adalah memperkenalkan lagi Port Dickson khususnya pantai Bagan Pinang selain membantu komuniti nelayan di kawasan tersebut.

“Tujuan saya memperkenalkan kayak memancing ini bukan semata-mata perniagaan, ia berkait juga dengan pelancongan. Saya mahu perkenalkan di sini aktiviti sukan pelancongan kayak pancing ini kerana ia satu aktiviti yang menarik.

“Kemudian, saya mengusahakannya di kawasan nelayan, saya bincang dengan mereka untuk menjalankan perniagaan ini dan tidak sangka ia menjadi. Nelayan di sini membantu dalam aspek operasi.

“Perniagaan ini diletakkan di bawah program MyKomuniti Perikanan nelayan Bagan Pinang, kini ada dua aktiviti di bawah program tersebut iaitu kayak fishing dan pembuatan ikan masin,” katanya.

Sementara itu, menurut Mazuan, dia menge­luarkan modal permulaan lebih RM50,000 bagi menjalankan perniagaan menyewakan kayak memancing tersebut.

“Modal tersebut termasuklah untuk membeli kayak, menyediakan stor, jaket keselamatan, walkie-talkie dan aksesori lain. Kini saya mempunyai kira-kira 17 buah kayak yang dibeli dari dalam dan luar negara.

“Saya sewakan setiap kayak ini pada harga RM80 sehari iaitu dari pukul 7.30 pagi hingga 6.30 petang. Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan dan selalunya pada hujung minggu dan cuti umum semua kayak saya ini sudah ditempah,” katanya yang turut memaklumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan rentas negeri turut menjejaskan operasi perniagannya itu.

Mengulas perancangan perniagannya pada masa akan datang, Mazuan berhasrat menganjurkan pertandingan kayak memancing yang melibatkan peminat aktiviti itu dari dalam dan luar negara.

“Sebenarnya perancangan kami masih jauh lagi tapi memang saya berhasrat untuk menganjurkan pertandingan kayak memancing dan mengumpulkan para peminat dan komuniti aktiviti ini dari dalam dan luar negara, saya mahu jadikan Bagan Pinang sebagai tumpuan utama aktiviti kayak memancing.

“Selepas itu saya mempunyai perancangan untuk bekerjasama dengan hotel-hotel yang banyak di Port Dickson ini supaya mereka menjadikan kayak memancing ini sebagai salah satu aktiviti yang boleh ditawarkan kepada tetamu mereka,” katanya.

ANTARA kayak yang dimiliki Mazuan untuk disewakan kepada peminat aktiviti kayak memancing di Pantai Bagan Pinang, Port Dickson.

Sementara itu, jelas Mazuan, dia yakin dengan potensi aktiviti kayak memancing dan percaya peminat aktiviti tersebut akan bertambah dari semasa ke semasa.

“Aktiviti kayak memancing ini ada seninya, perasaan apabila dapat ikan itu sangat menarik. Setiap kayak yang dilengkapi aksesori lengkap turut mempunyai peralatan seperti fish finder yang menggunakan sistem sonar,

“Ia diguna untuk mengenal pasti kawasan karang atau ikan di bawah laut, sebenarnya itu yang buat aktiviti ini sangat menarik,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×