Pemimpin Pas rakam penghargaan kepada Anwar

Pemimpin Pas rakam penghargaan kepada Anwar

ANWAR Ibrahim bertemu Muhammad Nadir Al-Nuri dalam satu program baru-baru ini.- GAMBAR/FACEBOOK MUHAMMAD NADIR AL-NURI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Pas merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas misi membawa pulang keluarga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dari Gaza, Palestin.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kesungguhan itu memerlukan kepada perbincangan dan hubungan baik dengan Mesir khususnya bagi memastikan misi ini berjaya.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu kemudian menyifatkan perkembangan itu sebagai hadiah Hari Raya Aidilfitri paling berharga untuk  Muhammad Nadir Al-Nuri.

“Terima kasih atas kesungguhan dan usaha Perdana Menteri memastikan keluarga saudara Nadir An-Nuri disatukan semula, tentu sekali ia memerlukan kepada perbincangan dan hubungan baik dengan Mesir khususnya bagi memastikan misi ini berjaya.

“Tahniah kepada saudara Nadir, tentunya ini hadiah Hari Raya yang paling berharga untuk beliau,” tulis beliau menerusi satu hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, Muhammad Nadir Al-Nuri dalam catatannya berkata, Anwar merupakan individu penting yang memainkan peranan utama dalam misi membawa keluar keluarganya dari Gaza, saat wilayah Palestin itu diserang tentera Israel.

Perkara itu dikongsikan oleh Muhammad Nadir Al-Nuri dalam catatan ‘183 Hari Yang Panjang’ menerusi hantaran di akaun Facebook serta Instragram beliau semalam.

Muhammad Nadir Al-Nuri berkata, sehari sebelum Aidilfitri, beliau dihubungi Setiausaha Politik Perdana Menteri, Farhan Fauzi, yang memintanya datang ke satu lokasi khas selain membenarkan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Dr. Ahmad Sani Abdul Alim Araby untuk turut sama ke lokasi itu.

“Saat sampai ada kenderaan hitam menanti. Risau juga macam dalam movie. Alangkah terkejutnya saya saat pintu dibuka, saya diterpa anakanda yang selalu hadir dalam mimpi sekian malam. Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan,” kata Muhammad Nadir Al-Nuri.

Beliau menyifatkan misi membawa keluarganya dari Gaza itu sebagai ‘misi gila’, kerana bukan mudah untuk membawa keluar keluarganya saat bedilan roket dan hentaman bom bertali-arus di Gaza, selain ketegangan di sempadan yang berlanjutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×