LIPIS: Beberapa jalan utama yang menghubungkan bandar-bandar utama di negeri ini perlu dinaiktaraf dan diselenggarakan dengan baik bagi merangsang perkembangan ekonomi dan kelancaran ketersampaian ke lokasi.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sudah memohon peruntukan khas berjumlah RM600 juta daripada kerajaan Pusat bagi menaik taraf jalan negeri selari kemajuan ekonomi negara yang berkembang pesat.
Menurutnya, antara jalan yang perlu dinaiktaraf adalah jalan Benta-Jerantut-Maran (77.2 kilometer), Sungai Koyan-Raub (77 kilometer), Temerloh-Bera (48 kilometer) dan Lebuhraya Gambang-Segamat (146.8 kilometer).
“Tular di media sosial jalan-jalan utama ini mengalami kesesakan teruk pada musim cuti Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja jalan di Kuala Lumpur-Karak, Lingkaran Tengah Utama (LKTU) tetapi juga jalan Gambang-Segamat,” katanya ketika ditemui pada majlis Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Jelai di Laman Sejahtera Jelai Felda Sungai Koyan di sini.
Menurut Wan Rosdy, sebagai contoh Lebuhraya Tun Razak juga dikenali Lebuhraya Segamat-Gambang yang pertama di negara ini dengan standard dua lorong sejauh 146.8 kilometer perlu dinaiktaraf segera kepada empat lorong selari dengan laluan utama ke negeri-negeri gerbang selatan.
Tambah beliau, lebuh raya Persekutuan ini dibina untuk memendekkan jarak perjalanan dari bandar-bandar utama di kawasan barat laut seperti Segamat, Tangkak, Muar, Batu Pahat, Melaka ke negeri Pantai Timur.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebahagian peruntukan RM200 juta yang diluluskan kerajaan Pusat akan digunakan untuk menaiktaraf Seksyen FT012 Jalan Kuantan-Segamat tahun ini.
“Saya sudah minta Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memberi keutamaan lokasi-lokasi panas yang selalu menjadi rintangan atau masalah kepada pengguna.
“Jalan Kuantan-Segamat adalah salah satu lokasi yang dalam perhatian serius pihak JKR termasuk cadangan menggantikan jambatan bailey dengan jambatan kekal,” katanya.
Seorang pengguna, Razak Daud berkata, Lebuhraya Tun Razak Gambang-Segamat perlu dinaik taraf kepada lebuh raya empat lorong sebagai langkah kecekapan ketersampaian dan pencegahan mengurangkan kemalangan.
“Kerajaan juga sudah umumkan pembinaan jambatan kekal bernilai RM17 juta untuk menggantikan jambatan Bailey. Ia perlu disegerakan,” katanya yang juga aktivis masyarakat. – UTUSAN











