PONTIAN: Seorang pekerja wanita mengalami detik cemas apabila diacukan parang panjang pada lehernya dalam kejadian samun di sebuah kedai serbaneka di Pekan Nanas, dekat sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintenden Abd. Hamid Abdul Rahman, berkata, ketika kejadian pekerja berusia dalam lingkungan 20-an itu bersendirian.
Dalam kejadian pukul 4.50 pagi kelmarin itu, dua lelaki dengan seorang bersenjatakan parang panjang telah memasuki premis tersebut dengan memakai pelitup muka serta jaket berwarna biru gelap dan merah melarikan wang tunai dan seutas gelang tangan milik pekerja tersebut bernilai RM2,000.
“Kedua-dua suspek yang mempunyai fizikal kurus dengan ketinggian lebih kurang 170 sentimeter telah melarikan diri dengan sebuah kereta selepas melakukan samun tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Walau bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan samun bersenjata dan secara berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mengetahui tentang kejadian tersebut boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Wan Nor Ismaliza Wan Ismail menerusi talian 016-2089835 atau ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Abd. Hamid juga menasihatkan pemilik perniagaan tidak menugaskan seorang pekerja wanita bersendirian pada waktu malam bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku.
“Sekurang-kurangnya letakkan dua orang bertugas supaya tidak memberikan peluang kepada penjenayah mengambil kesempatan untuk melakukan samun seperti itu,” katanya. -UTUSAN










