BENTONG: Mayat belum dikenal pasti identitinya ditemukan orang awam di lereng bukit berdekatan kilometer 15.1 jalan menghala turun dari pusat peranginan Genting Highlands di sini, semalam.
Ketua Polis Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, polis menerima panggilan orang awam pada pukul 3.40 petang semalam memaklumkan penemuan mayat tersebut.
“Sepasukan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini bersama Unit Forensik Kontinjen Pahang hadir ke lokasi untuk membuat pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan awal pihak polis di tempat kejadian mengesahkan satu mayat seperti mana dilaporkan orang awam, tetapi belum dikenalpasti identiti mangsa,” katanya di sini hari ini.
Menurut Zaiham, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, dekat sini untuk dibedah siasat.
“Kes disiasat sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat,” katanya.
Zaiham berkata, polis memohon kerjasama orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga untuk tampil membuat laporan di IPD di sini dan semua balai polis yang berdekatan.
“Polis memohon kerjasama mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu tampil membantu siasatan atau menghubungi Bilik Gerakan Gerakan IPD Bentong menerusi talian 092222222 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. – UTUSAN










