Semakin ramai jururawat tinggalkan kerjaya

Semakin ramai jururawat tinggalkan kerjaya

JURURAWAT merupakan jentera penting dalam sektor perkhidmatan kesihatan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekoso­ngan jururawat di Kementerian Kesihatan meningkat 10 hingga 40 peratus dalam tempoh empat tahun bermula negara dilanda pandemik Covid-19.

Antara faktor kekoso­ngan tersebut adalah tekanan persekitaran tempat kerja dan gaji rendah sehingga ra­mai petugas mengambil ke­putusan berhenti kerja sekali gus menyumbang kepada kekosongan jawatan jururawat sejak 2020 hingga 2023.

Berdasarkan jawapan Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat pada bulan lalu, terdapat 2,106 kekosongan jururawat pada 2020 dan angka itu meningkat kepada 2,224 (2021) dan 4,420 (2022) dan terkini, 6,896 pada 2023.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Azizan Abdul Aziz berkata, pihaknya mengakui wujud penghijrahan petugas kesihatan termasuk jururawat daripada Kementerian Kesihatan dengan mencari peluang kerja di luar negara.

Menurut beliau, tawaran gaji dan imbuhan berganda di negara lain menarik rakyat Malaysia sehingga mereka melepaskan tanggungjawab menabur bakti di tanah air sendiri.

“Ramai yang telah pergi bekerja di Singapura, Australia dan Asia Barat. Seorang jururawat penjagaan kesihatan awam gred U29 baharu di Malaysia memperoleh gaji permulaan bulanan sekitar RM1,800 manakala seorang jururawat lepasan baharu di Singapura boleh memperoleh hampir lima kali ganda jumlah itu.

“Gaji yang rendah dalam penjagaan kesihatan awam adalah salah satu sebab utama jururawat mencari ‘padang rumput yang lebih hijau’ dalam penjagaan kesihatan swasta dan di luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Isu kekosongan jururawat bukan hanya berlaku di klinik dan hospital kerajaan, sebaliknya membabitkan fasiliti swasta apabila Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) memaklumkan kira-kira 9,224 jururawat tambahan pada 2023 hingga 2025.

Perkara itu menyebabkan APHM membangkitkan cadangan berhubung keperluan pengambilan jururawat luar negara untuk membantu sektor swasta mengatasi masalah berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr. Azizan berkata, tekanan dan persekitaran tempat kerja merupakan antara penyumbang peningkatan penghijrahan jururawat Kementerian Kesihatan ke luar negara dan klinik serta hospital swasta.

“Burnout juga mungkin berlaku kepada mereka kerana mereka sentiasa bekerja terlalu banyak,” katanya.

Justeru, katanya, kerajaan perlu menitikberatkan soal kebajikan semua petugas kesihatan termasuk para jururawat untuk memastikan kualiti sektor kesihatan dapat dipertingkatkan bagi menampung peningkatan kehadiran pesakit di klinik dan hospital kerajaan pada setiap hari.

Kata Dr. Azizan, imbuhan dan gaji jururawat perlu ditambahbaik dan dilihat semula dengan mengambil kira tanggungjawab mereka sebagai tonggak utama bidang kesihatan awam di negara ini.

“Gaji jururawat perlu dinaik­kan dengan ketara bersama-sama dengan apa-apa elaun yang mereka layak terima, sebagai antara usaha untuk mengekalkan jururawat berkhid­mat dalam sistem penjagaan kesihatan awam kita.

“Mungkin mereka tidak akan dapat bersaing dengan pakej gaji yang ditawarkan oleh swasta namun langkah boleh diambil untuk meningkatkan keseimbangan kehidupan kerja jururawat.

“MMA percaya kebanyakan jururawat Malaysia lebih suka tinggal di Malaysia jika diberi pilihan, tetapi mungkin mempunyai sedikit pilihan jika mereka bergelut untuk memenuhi keperluan hidup,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×