KUANTAN: Seorang pelayan kedai makan maut selepas motosikal ditunggang hilang kawal dan bergesel dengan tayar belakang sebuah lori di Jalan Pintasan Kuantan-Kemaman, dekat tangki air Semambu, kira-kira pukul 11 malam tadi.
Mangsa, Muhammad Zharif Abd. Aziz, 23,. mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan kecuaian penunggang motosikal yang gagal mengawal kenderaannya.
Menurutnya, kejadian berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dari arah Gambang menuju ke Kemaman bergesel pada bahagian sisi tayar belakang kiri lori yang datang dari arah sama.
“Akibat kemalangan, mangsa yang beralamat di Balok Makmur di sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Wan Mohd. Zahari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi tujuan bedah siasat manakala pemandu lori dan kelindan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jelasnya lagi, keadaan di lokasi kemalangan merupakan sistem jalan dua lorong sehala yang lurus manakala terdapat satu lorong susur di sebelah kiri jalan serta permukaan jalan adalah rata dan kering. – UTUSAN










