ALOR SETAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan lima pemandu bas ekspres menggunakan dadah disyaki Methamphetamine dalam Op Khas sempena Hari Raya Aidilfitri di seluruh negara sejak 1 April lepas.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, ia melibatkan dua kes di Sarawak, satu (Kelantan) dan dua (Kedah) yang dikenal pasti oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
“Bayangkan jika mereka dibenarkan memandu pasti memberi risiko yang amat tinggi kepada penumpang. Mereka yang terlibat juga ada warga emas seperti di Terminal Bas Shahab Perdana ini suspek berusia 67 tahun.
“Jadi kita melakukan pemeriksaan menyeluruh kerana walaupun sudah berusia tidak semestinya dia tidak akan menggunakan bahan terlarang ini,” katanya selepas meninjau Op Khas Hari Raya Aidilfitri 2024 di Terminal Bas Shahab Perdana, di sini malam tadi.
Tambah beliau, bagi tindakan selanjutnya, JPJ akan memanggil syarikat pengendali bas terlibat dan laporan siasatan lengkap akan dikemukakan kepada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan di bawah Akta 715.
“JPJ juga akan menggantung lesen pemandu berkenaan di bawah Seksyen 36 Akta 333 setelah pengesahan lanjutan diperoleh daripada pihak AADK,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, JPJ memeriksa sebanyak 163,558 kenderaan sepanjang operasi tersebut dengan 21,742 daripada kenderaan diambil tindakan dan 39,066 kenderaan atau 24 peratus menerima notis pelbagai kesalahan. -UTUSAN










