KOTA BHARU: Permintaan tinggi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri menyebabkan bekalan minyak masak peket di negeri ini berkurangan di pasaran.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail bagaimanapun berkata, bekalan bahan mentah itu masih mencukupi untuk menampung permintaan pelanggan.
“Setakat ini, kita mendapati bekalan minyak masak masih ada cuma jumlah itu menurun kerana orang ramai membeli bahan minyak masak untuk membuat persiapan menyambut lebaran.
“Jadi, KPDN Kelantan akan memastikan bekalan minyak masak tidak putus di pasaran. Pada masa sama, kita juga akan menambah kuantiti bekalan itu mengikut keperluan di pasaran iaitu sebelum dan selepas hari raya,” kata beliau selepas mengadakan Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2024 di sini hari ini.
Menurut beliau, KPDN Kelantan memohon kerjasama 18 pembungkus minyak masak untuk menghantar bekalan setiap hari.
“Kita akan pastikan mereka hantar mengikut jadual yang telah ditetapkan. Proses ini akan berterusan sehingga selepas Aidilfitri. Kita akan pastikan bekalan sentiasa ada di pasaran,” kata beliau.
Azman berkata, bekalan gula masih stabil dan mencukupi bagi menampung keperluan pengguna. – UTUSAN










