SHAH ALAM: Majikan di negeri ini didapati sanggup menggadai nyawa pekerja dengan menggajikan pemandu bas warga asing tanpa lesen yang didakwa mudah diurus dengan bayaran murah.
Perkara itu dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor yang menahan seorang lelaki warga India di Seksyen 23 di sini, semalam.
Kesalahan melibatkan pemandu asing itu menerusi Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) bermula kira-kira pukul 10 pagi.
Pengarahnya, Azrin Borhan berkata, pemeriksaan mendapati lelaki itu tidak memiliki lesen memandu yang sah dan mendakwa digajikan oleh majikannya.
“Hasil soal siasat mendapati majikan itu mengambil pemandu asing bekerja kerana hanya diberi gaji yang rendah. Justeru, bas berkenaan disita bagi tindakan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi.
Jelas beliau, bas itu antara 63 kenderaan yang disita pihaknya termasuk 12 lori, 10 kereta dan 40 motosikal.
“Operasi sehingga pukul 11.59 malam tadi memfokuskan pemeriksaan secara keseluruhan bagi semua jenis kenderaan dan rondaan sepanjang musim perayaan.
“Sebanyak 1,518 saman turut dikeluarkan termasuk melibatkan kesalahan cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insuran,” ujarnya.
Tambah Azrin, pihaknya akan terus mempergiatkam penguatkuasaan ke atas semua jenis kenderaan sepanjang Op HRA tersebut. – UTUSAN










